Tuesday, March 5, 2024
25 C
Brunei

    -

    Abadi nama ‘Warung Pak Jabit’, hidupkan nostalgia filem

    KUALA KANGSAR – Mahu nostalgia sentuhan karya pengarah prolifik Allahyarham Mamat Khalid terus ‘hidup’ dan dirasai orang ramai, pemilik kedai makan Muhammad Asri Mohd Azraie mengabadikan nama Warung Pak Jabit di premis makanannya di Kampung Karai di sini.

    Kedai makan terbiar yang pernah menjadi lokasi penggambaran tiga filem Allahyarham Mamat Khalid iaitu 18 Puasa Di Kampung Pisang, Kampung Pisang Bersiri-Siri dan Hantu Kak Limah kini ‘kembali’ meriah apabila Muhammad Asri, 23, mengambil keputusan membuka semula perniagaan yang pernah diusahakan bapanya sebelum ini, bermula Febuari tahun lepas.

    “Kisahnya, kedai makan di atas tanah milik bapa ini pernah diusahakan keluarga sekitar 2004 hingga 2008, kemudian disewakan kepada orang lain, oleh sebab beberapa masalah ia pernah terbiar selama hampir 10 tahun sebelum ada pihak produksi filem mahu menyewanya untuk dijadikan lokasi penggambaran pada 2018 dan dinamakan ‘Warung Pak Jabit’ dalam filem itu,” katanya ketika ditemui di warungnya baru-baru ini.

    Muhammad Asri berkata keputusan mengekalkan nama Warung Pak Jabit itu diambil apabila ramai pengunjung dan peminat karya Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid masih mencari-cari warung yang sebelum ini tular melalui media sosial dan wujud dalam skrip filem sahaja.

    Mengakui populariti filem-filem itu serta watak Pak Jabit banyak membantu menaikkan perniagaannya, Muhammad Asri berkata dia yang mengusahakan kedai makan itu bersama tiga lagi adiknya turut menjual menu seperti dalam filem termasuk mi kari kuah laksa.

    Mahu nostalgia sentuhan karya pengarah prolifik Allahyarham Mamat Khalid terus hidup, Muhammad Asri Mohd Azraie mengabadikan nama Warung Pak Jabit di premis makanannya di Kampung Karai, Kuala Kangsar. – Bernama
    Pengunjung menikmati hidangan menu Mee Kari Kuah Laksa bersama rakan di Warung Pak Jabit. – Bernama
    Pak Jabit, nak mee kari…kuah laksa, dialog dalam filem Kampung Pisang Bersiri-Siri arahan Allahyarham Mohamad Khalid atau Mamat Khalid mungkin masih diingati oleh peminat filem Malaysia. – Bernama
    Pengunjung bersama keluarganya menikmati hidangan menu Mee Kari Kuah Laksa di Warung Pak Jabit. – Bernama

    Hidangan lain yang dijual katanya, ialah sate, cendol, laksa, mi sup, mi kari dan pelbagai lagi.

    Bercerita lanjut, Muhammad Asri berkata pada mulanya kedai makan yang diwarisi daripada bapanya, Mohd Azraie Zainuddin, 63, diusahakan semula untuk pelanggan yang terdiri daripada penduduk kampung, namun tidak menyangka, maklumat disampaikan daripada mulut ke mulut dan media sosial menyebabkan kedai makan itu menjadi tumpuan ramai.

    Bagi memberi keselesaan kepada pelanggan yang bertambah, keluarganya turut menaik taraf premis itu termasuk menyediakan tandas serta menambah kerusi dan meja bagi menampung jumlah pelanggan yang ramai terutama pada hujung minggu.

    “Selain orang Perak, kebanyakan pelanggan yang datang berasal dari luar negeri ini termasuk Selangor dan Johor yang mengetahui mengenai premis ini daripada media sosial yang dikongsi pelanggan di sini,” katanya yang turut mempromosikan kedai itu menerusi aplikasi TikTok.

    Beroperasi pada petang hingga tengah malam kecuali Jumaat, Muhammad Asri berkata dia mahu menambah menu menarik dengan menyewakan tapak niaga kepada sesiapa yang berminat.

    Peminat seni kartun dan animasi itu juga merancang membuka bazar Ramadan di hadapan premis itu menjelang bulan puasa nanti.

    Sebelum ini, replika Warung Pak Jabit, lokasi yang turut popular dalam filem Zombi Kampung Pisang itu dibina di pekarangan Sarang Art Hub yang juga kafe milik Allahyarham Mamat di Tanjung Malim.

    Inisiatif itu hasil kerjasama Persatuan Anak Seni Sarang, Kementerian Pelancongan, 
    Seni dan Budaya (MOTAC) Perak, kerajaan Perak dan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).

    Watak Pak Jabit yang popular serta diingati penonton, dilakonkan oleh pelakon veteran Man Kadir Samsi yang meninggal dunia pada 2017 dan watak itu kemudian diambil alih pelakon dan pengarah Aziz M. Osman.

    Selain Pak Jabit, watak-watak terkenal sebagai pelanggan di warung itu ialah Pak Din Pest Control lakonan Kazarudin Saisi, Cik Purnama (Dewa Sapri), Pak Karim (Mat London) dan Yassin (Ahmad Yassin). 

    Selain itu, program berkonsepkan masakan berjudul Warung Pak Jabit juga pernah muncul di rangkaian televisyen pada April 2022. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    24 nelayan diselamatkan di laut berombak kuat, 1 ditemui mati

    TOKYO, 5 MAC - Sebuah helikopter pengawal pantai Jepun menyelamatkan 24 nelayan ketika mereka bermati-matian berpaut pada geladak sebuah kapal yang condong, separuh tenggelam...