Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah melancarkan operasi memadam kebakaran dari udara dalam usaha membantu menangani kebakaran hutan di Kampung Rimba yang berlaku sejak 3 Mei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, semasa operasi itu, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) mengerahkan helikopter S70i Blackhawk bagi menjalankan water bombing di kawasan yang sukar dicapai melalui laluan darat bagi mengawal merebaknya kebakaran hutan berkenaan.
Operasi memadam kebakaran udara itu diselaraskan dengan kerjasama Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Walaupun ketika negara sedang meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, ABDB dan agensi kerajaan lain tetap bersedia untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka untuk berkhidmat dan menjaga keamanan negara.