Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menyertai perarakan bersama 40 angkatan tentera dari negara Komanwel yang lain dan British Overseas Territories sempena Istiadat Pertabalan His Majesty King Charles III yang berlangsung di London, United Kingdom, kelmarin.
ABDB dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menyatakan delegasi ABDB terdiri daripada 10 orang anggota dari Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, Akademi Pertahanan ABDB,
Institut Latihan ABDB dan Rejimen Pasukan Khas yang diketuai oleh Penasihat Akademik di Akademi Pertahanan ABDB, Mejar (U) Wan Muhammad Azem bin Haji Mohd Aminuddin.
Kontinjen ABDB telah menjalani latihan selama dua minggu bersama angkatan tentera yang ikut serta di bawah pengawasan pegawai-pegawai serta jurulatih Angkatan Tentera British. Latihan tersebut dikendalikan secara berfasa dan berakhir dengan penyatuan angkatan tentera negara-negara Komanwel dengan Angkatan Tentera British dalam perbarisan raksasa yang terdiri daripada 6,000 orang anggota.
Istiadat Pertabalan His Majesty King Charles III di Westminster Abbey diadakan 70 tahun selepas pertabalan bonda Baginda, Ratu Elizabeth II pada 2 Jun 1953.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/05/P4-3A_08052023.jpg)