Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Kapal Tentera Laut Diraja Australia (TLDA), Frigate HMAS ANZAC telah memasuki perairan Negara Brunei Darussalam pada 15 November lalu bagi mengadakan misi Indo Pacific Endeavor 2022 (IPE 02/2022).
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan hari ini, IPE 02/2022 merupakan latihan utama ketenteraan diadakan secara tahunan yang diterajui oleh Australia bertujuan untuk mengukuhkan komitmen dan kerjasama kerajaan Australia di wilayah Indo-Pasifik.
Terdahulu, majlis pembukaan IPE 02/2022 antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Pertahanan Australia (ADF) pada 14 November telah dipengerusikan bersama oleh Pemangku Timbalan Pemerintah Angkatan Bersama, Markas Angkatan Bersama (MAB), ABDB, Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan dan Commander Landing Force of the Australian Amphibious Task Group, ADF, Kolonel Douglas Pashley.
Demonstrasi dua hala bersama Coastal Hook Landing telah berlangsung pada 16 November bagi mempamerkan keupayaan amfibia Australia dan mengembangkan interoperabiliti antara kedua-dua angkatan tentera.
Demonstrasi tersebut turut dihadiri oleh pegawai kanan ABDB dan ADF, termasuk Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold; Panglima IPE 02/2022, Commodore Mal Wise dan Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.
Turut hadir adalah pegawai-pegawai kanan dan para peserta dari ABDB dan ADF.
Frigate HMAS ANZAC kemudian meneruskan perjalanan ke Republik Indonesia pada 17 November dengan tujuh buah negara di dalam Wilayah Asia Pasifik telah dan akan dikunjungi oleh pasukan tugas tersebut.
Majlis Penutup IPE 02/2022 pada 18 November turut menyaksikan Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi dan Commodore Mal Wise menyampaikan ucapan, di mana kedua-duanya menekankan kepentingan IPE 02/2022 dalam menambahbaikkan hubungan dua hala yang telah terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara dan melahirkan rasa puas hati dengan kejayaan pelaksanaan IPE 02/2022.
Kedua-dua majlis pembukaan dan penutup telah disempurnakan secara maya di Bilik Mesyuarat, MAB, ABDB.
Semasa IPE 02/2022, pelbagai eksesais di laut, udara dan darat telah pun dirancang termasuk beberapa program Pertukaran Pakar Subjek (SMEE) seperti Bengkel Keselamatan Maritim, Keamanan dan Keselamatan Wanita, Interaksi Keagamaan dan Pertukaran Maklumat Pesawat P-8A.
IPE ini adalah latihan yang direka untuk meningkatkan interoperability, profesionalisme, kecekapan dan kerjasama kedua-dua angkatan tentera dalam menangani ancaman-ancaman keselamatan semasa dan masa hadapan di rantau ini.