Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Abdul Aziz menang tempat ke-4 musabaqah Iran

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Peserta Negara Brunei Darussalam telah berjaya mendapat tempat keempat daripada enam orang peserta yang bertanding di peringkat akhir The 38th Round International Al-Quran Competition, 5th International Competition for The Blind and 7th International Student Competition anjuran Republik Islam Iran, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran memperolehi markah 91.94 peratus bagi pertandingan menghafaz 30 Juz Al-Quran pada The 7th International Student Competition.

    Pertandingan tersebut telah berlangsung secara maya pada 14 Februari lalu dan disertai oleh 25 buah negara.

    Sehubungan dengan itu, Kedutaan Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan majlis penyampaian penghargaan atas penyertaan dan kejayaan Awang Abdul Aziz dalam pertandingan tersebut, di Kedutaan Republik Islam Iran, Kampung Kiarong, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan penghargaan berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki.

    Turut hadir ialah Timbalan Ketua Misi Kedutaan Republik Islam Iran, Afsaneh Ebrahimi dan Pegawai Pelajaran Ugama Kanan, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Hassan Baha bin HajiUmar.

    Awang Abdul Aziz merupakan penuntut Pra U2 di Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah dan mempunyai pengalaman dalam bidang hafazan Al-Quran, antaranya pernah mendapat johan Kategori E Menghafaz 30 Juz Al-Quran pada Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440H / 2019M dan
    1441H / 2020M.

    PYT Homeira Rigi Zirouki menyampaikan sijil kepada Awang Abdul Aziz pada majlis yang diadakan di Kedutaan Republik Islam Iran, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...