DAMASKUS, 25 NOV – Penemuan luar biasa di kawasan Tel Um Al-Mara, timur Aleppo, utara Syria, membawa kepada penemuan silinder tanah liat sebesar jari yang
dipercayai berusia sekitar 2400 SM, lapor Prensa Latina.
Menurut media tempatan, kawasan itu turut mendedahkan penemuan makam dari Zaman Gangsa, enam rangka manusia, barang perhiasan dari emas dan perak, peralatan dapur, hulu lembing serta bekas tembikar yang masih utuh.
Para penyelidik menemukan empat silinder tanah liat dengan tulisan menyerupai abjad pada permukaannya.
Tulisan itu dipercayai wujud sekitar 500 tahun lebih awal berbanding abjad lain yang diketahui sebelum ini, menurut ahli arkeologi Universiti Johns Hopkins yang menjalankan penyelidikan itu.
Penemuan itu bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kajian sejarah, tetapi juga mengubah pemahaman saintifik tentang perkembangan penulisan manusia.
Profesor arkeologi di Universiti Johns Hopkins, Glenn Schwartz yang menjumpai silinder tanah liat itu berkata, kewujudan abjad telah merevolusikan cara penulisan dengan menjadikannya lebih mudah diakses oleh rakyat biasa dan bukan hanya golongan bangsawan serta elit sosial. – Bernama