BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Enam ekor lembu dan seekor kambing telah dikorban kan bagi Majlis Ibadah Korban dan Akikah Universiti Brunei Darussalam (UBD) sempena sambutan Aidiladha 1442H yang berlangsung di Masjid Universiti, UBD, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, tahun ini seramai 43 orang telah menyertai ibadah korban dan akikah yang terdiri daripada lima orang untuk akikah sunat dan 38 orang menyertai ibadah korban.
Majlis pengagihan daging korban diadakan secara dua sesi iaitu sesi pengagihan kepada peserta dan sesi pengagihan kepada orang awam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), UBD, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.
Dua sesi pengagihan berkenaan adalah normal baharu bagi mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk mengelakkan kesesakan serta langkah-langkah penjagaan penjarakan sosial dan fizikal.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan pengagihan daging korban dan akikah kepada para peserta yang disampaikan oleh tetamu kehormat.
Daging korban dan akikah untuk para fakir dan miskin di sekitar kawasan Kampung Rimba dan kampung-kampung yang berdekatan telah diagihkan ke rumah-rumah penerima oleh sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan alumni UBD.
