Sunday, December 22, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acha Septriasa dapat hadiah daripada Wan Azizah

    Pelakon Acha Septriasa mengagumi sifat keibuan dan semangat yang ditunjukkan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

    Menurut Acha, 34, Azizah merupakan seorang wanita yang sangat cekal meneruskan perjuangan ketika keluarganya diuji dengan pelbagai konflik kehidupan.

    Acha berkongsi perkara itu menerusi panggilan video sewaktu sidang media pelancaran filem Anwar, The Untold Story yang diadakan di W Hotel, Kuala Lumpur kelmarin.

    Dalam pada itu, Acha turut berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapinya sewaktu melakonkan watak Wan Azizah.

    Kata Acha, dia agak gementar membawakan peranan seorang wanita hebat itu, namun Azizah dijadikan sebagai inspirasi untuk memastikan dirinya dapat membawa watak berkenaan dengan baik.

    Acha Septriasa kagumi watak Wan Azizah yang sangat tabah dan cekal. – Agensi

    Bercakap tentang pertemuan dengan ahli politik itu, Acha mempunyai momen indah yang tak mungkin dilupakan ketika berjumpa Azizah buat pertama kali.

    Selain dapat merasa masakan air tangan Azizah, Acha juga menerima hadiah seutas rantai tasbih.

    “Walaupun bertemu di hotel untuk makan bersama, beliau tetap membawa bekal masakan sendiri untuk diberikan kepada kami.

    “Beliau mahu kami merasa hasil air tangannya dan beri saya gelang tasbih Asmaul Husna… beliau mahu saya terus mengingatinya dan sentiasa ingat kepada Allah. Itu yang paling buat saya terkesan,” ujarnya.

    Selain Malaysia, filem yang dibintangi oleh Farid Kamil, Acha Septriasa dan Hasnul Rahmat itu juga bakal ditayangkan di beberapa negara termasuk Brunei dan Singapura. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda