Kegagalan perkahwinan pertamanya tidak pernah membuatkan pelakon, Vanidah Imran, menutup pintu hati untuk menerima kehadiran lelaki lain dalam hidup.
Vanidah yang lebih mesra disapa Vee, 46, bagaimanapun berkata tidak mudah untuknya menyerahkan hati kepada sesiapa kerana ada syarat perlu dipatuhi pihak berkenaan dalam perhubungan. Tegas pemenang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-20 ini, siapa sahaja yang bakal menjadi suaminya nanti, lelaki terbabit tidak boleh bersikap terlalu mengongkong.
“Saya ada aktiviti kegemaran sendiri seperti menyertai acara larian. Jadi, saya harap biarlah lelaki terbabit dapat memberi kebebasan untuk saya melakukan hobi saya itu. Saya tidak mahu nanti, banyak perkara tak boleh dilakukan selepas kembali berumah tangga. Sebelum ini pun, bekas suami (Rashidi Ishak) tidak pernah mengongkong, malah memberi galakan untuk saya melakukan aktiviti yang berfaedah,” kata Vanidah ketika ditemui pada majlis prapelancaran filem Daulat lakonannya, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah pelakon, Tony Eusoff, Cristina Suzanne, Jasmine Suraya, Rashidi dan Zul Zamri, serta pengarahnya, Imran Sheik. Hasil perkongsian hidup selama 18 tahun, Vanida dan Rashidi dikurniakan dua cahaya mata, Mikhail Aimran, 18, dan Maryam Rashika. Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada Oktober 2000, namun bercerai pada Ogos tahun lalu. – Agensi
