Penyanyi Adira Suhaimi meluahkan rasa syukur kerana namanya masih kekal diingati meskipun sudah lebih 13 tahun berada dalam industri seni.
Kata Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, biarpun fokusnya kini lebih tertumpu kepada keluarga serta penghasilan video media sosial, namun kerjaya sebagai penyanyi itu tetap melekat dalam dirinya.
“Kerjaya nyanyian saya masih berjalan seperti biasa. Walau aktif di media sosial, saya tak takut orang lupa bahawa saya adalah seorang penyanyi.
“Selama saya mencipta nama dalam industri ini, lagu-lagu juga banyak yang menjadi hit. Peminat masih meminta saya menyanyikan lagu sendiri ketika persembahan,” katanya kepada mStar.
Seiring dengan perjalanan seni, Adira turut memanfaatkan platform media sosial dengan perkongsian video-video harian di rumah.
Biarpun membuat kandungan yang tidak berkaitan dunia seni, namun baginya itu adalah cara terbaik agar namanya kekal relevan dalam kalangan peminat muzik.
Dalam masa yang sama, dia juga memberitahu setiap perkongsian itu juga hanyalah sekadar hiburan tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
“Iya, saya aktif di media sosial supaya boleh terus kekal dalam industri. Media sosial adalah satu platform meluas digunakan, jadi rugi kalau kita tidak manfaatkan sebaik mungkin.
“Content saya hanya sekadar hiburan dan tidak ada pun yang sensitif. Saya tak perlu nak risau jika ada yang tidak suka atau mahu kecam,” ujarnya. – Agensi