Enggan mengulas tentang status terkini dirinya, pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki memberitahu bakal berkongsi sesuatu istimewa pada Ogos depan.
Kata Afdlin atau Afdlin Shauki Aksan, 52, dia tidak berniat menyembunyikan tentang hal berkaitan peribadi namun belum bersedia mendedahkan kepada umum.
“Tiada apa yang menarik pun tentang kisah peribadi saya. Cuma berkaitan hal itu saya akan kongsi pada Ogos depan.
“Saya menunggu masa sesuai untuk bercakap tentang hal tersebut,” katanya kepada mStar.
Afdlin ditemui ketika sesi Town Hall Industri Kreatif yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebelum ini, tindakan pelakon filem Buli itu memuat naik foto seorang wanita di Instagram miliknya mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat mengenai hubungan sebenar mereka.
Ada sesetengahnya membuat anggapan pelakon itu sudah berkahwin dengan wanita tersebut apabila ruang komen foto itu ramai mengucapkan tahniah serta memanggilnya dengan gelaran Datin.
Tidak ambil pusing dengan kata-kata dan tanggapan sesetengah pihak, Afdlin berkata, dia sudah terbiasa dengan perkara itu apatah lagi dia orang lama dalam industri seni.
“Sekarang ini pun saya sudah biasa dengan kata-kata warganet. Biarlah mereka nak kata apa pun,” ujarnya ringkas. – Agensi