Monday, May 20, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    Afdlin Shauki mahu si penyimbah asid terima hukuman setimpal

    Pengarah filem Malaysia, Datuk Afdlin Shauki mahu individu yang melakukan perbuatan khianat terhadap pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim ditangkap dan diberikan hukuman setimpal.

    Memetik laporan mStar, Afdlin atau Afdlin Shauki Aksan, 53, berpendapat pihak berkuasa perlu mencari dalang di sebalik kecederaan yang menimpa Faisal susulan tragedi disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Damansara, Selangor pada Ahad lalu.

    “Saya berharap kepada pihak polis cari dalang siapa yang melakukan perbuatan khianat ini.

    “Saya sebagai rakyat Malaysia tidak akan berpuas hati selagi tidak berjumpa siapa si pelaku. Katakanlah ada dalang di sebalik si pelaku, kita kena tahu siapa yang upah dia untuk melakukan perkara ini.

    “Rakyat Malaysia mahukan keadilan untuk Faisal supaya si pelaku menerima hukuman setimpal,” katanya kepada mStar.

    Afdlin berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Ngesot yang diadakan di Kuala Lumpur pada malam Selasa.

    Dalam pada itu, Afdlin sempat berkongsi sifat peribadi Faisal yang dikatakan sangat merendah diri biarpun pernah menerima anugerah gol terbaik ketika menentang pasukan Korea Selatan di Piala Asia di Qatar pada Februari lalu.

    Malah Faisal juga bakal membuat kemunculan sebagai pelakon undangan menerusi filem Harimau Malaya: The Untold Journey arahan Afdlin.

    “Faisal seorang yang sangat tenang, baik dan boleh berbual dengannya. Saya jumpa dia sewaktu dia baru balik daripada perlawanan di Korea Selatan.

    “Dia juga berlakon dalam satu babak untuk filem Harimau Malaya. Saya terkesima (starstruck) melihatnya dan saya hanya boleh memandangnya dengan rasa hormat.

    “Jadi apabila saya mendengar apa yang berlaku kepada dia, saya jadi sedih sangat kerana orangnya baik dan rendah diri,” ujarnya.

    Sementara itu, Afdlin memohon orang ramai mendoakan kesembuhan buat Faisal dan menyifatkan perbuatan khianat yang dilakukan terhadap pemain itu seperti sudah dirancang.

    “Saya minta agar semua peminat Harimau Malaya dan rakyat Malaysia secara amnya mendoakan agar Faisal cepat sembuh dan keluar daripada keadaan kritikal.

    “Ia satu perkara yang mengejutkan kerana selalunya kalau ada yang tidak puas hati mereka hanya bergaduh tapi kes baling asid ini bagi saya adalah satu niat yang sangat tidak baik.

    “Maknanya perkara ini (baling asid) sudah dirancang. Saya tidak tahu individu yang merancang melakukan perbuatan jahat itu adalah manusia atau tidak,” katanya.

    Pada Ahad lalu, Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid hingga mengakibatkan kelecuran di beberapa bahagian badannya oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat peribadi di Kota Damansara.

    Susulan itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan Faisal mengalami lecur tahap empat dan kini sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya. – Agensi

    Afdlin luah rasa sedih melihat situasi yang berlaku terhadap Faisal. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lai Ching-te dilantik sebagai presiden Taiwan

    TAIPEI, 20 MEI - Lai Ching-te mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan pada Isnin, memulakan penggal di mana beliau dijangka meneruskan dasar kemerdekaan de...