Pelakon Afifah Nasir mendedahkan suaminya iaitu Syed Hariz merupakan abang kepada sahabat baik yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu.
Afifah atau Nur Afifah Nasir, 31, berkata, dia tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan Hariz yang disifatkan sebagai jodoh di depan mata.
Memetik laporan mStar, mereka dipertemukan sendiri oleh sahabatnya iaitu Alya ketika mereka sama-sama pergi menonton sebuah konsert.
“Awda tidak akan pernah menyangka awda akan bertemu dengan jodoh. Bagi saya, jodoh saya sebenarnya berada dekat tapi saya tidak pernah mengetahuinya.
“Sehinggalah kami bertemu di sebuah konsert… Terima kasih kepada sahabat baik saya Alya. Saya sudah berkawan dengannya selama 10 tahun,” katanya.
Afifah berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instastory milik Alya.
Dalam pada itu, Afifah memberitahu ketika bertemu di konsert, keserasian di antara mereka wujud dan hubungan itu menjadi rapat sehingga mereka sah disatukan sebagai suami isteri.
Katanya, walaupun sebelum ini dia mengetahui tentang kewujudan Hariz namun tidak pernah terlintas untuk berkenalan dengannya.
“Saya tahu dia mempunyai seorang abang tetapi tidak pernah terlintas untuk berkenalan dengannya sehinggalah kami bertemu di konsert.
“Selepas itu mula timbul rasa serasi dan berkawan rapat dan akhirnya kini saya berdiri di sebelah lelaki idaman saya,” ujarnya. – Agensi