Saturday, February 8, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AFMGM ke-9 bincang pertumbuhan mampan ASEAN

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) dan Mesyuarat Berkaitan ke-9 yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 29 hingga 31 Mac.

    Turut hadir ialah Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar.

    Siri mesyuarat menteri dimulakan dengan dialog antara menteri kewangan dan gabenor bank pusat dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN dan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat (AS)-ASEAN untuk membincangkan peluang kerjasama sektor awam dan swasta bagi mengekalkan transformasi digital ASEAN, dan pemulihan mampan dalam bidang seperti kewangan iklim, ekonomi digital dan teknologi hijau.

    AFMGM diteruskan dengan sesi bersama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Lembaga Kestabilan Kewangan, Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3, untuk bertukar-tukar pandangan mengenai prospek ekonomi serantau dan global, serta risiko dan agenda pembangunan.

    Semasa sesi plenari, mesyuarat membincangkan keutamaan Pengerusi ASEAN 2023 Indonesia di bawah tema ASEAN Matters: Epicentrum of Growth, termasuk cadangan untuk mengukuhkan kerjasama serantau mengenai keselamatan makanan, penglibatan rentas sektor antara sektor kewangan dan kesihatan serta kemajuan dalam kerjasama kewangan ASEAN.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri AFMGM dan Mesyuarat Berkaitan ke-9 yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 29 hingga 31 Mac lalu. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

    Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyatakan sokongan terhadap pengerusi dan keutamaan Indonesia yang akan mempercepatkan pemulihan dan menyumbang kepada pertumbuhan inklusif dan mampan ASEAN.

    Beliau menyedari bahawa kemajuan, terutamanya dalam bidang pertumbuhan baharu seperti ekonomi hijau dan digital, juga penting dan dengan itu mengalu-alukan usaha berterusan, antara lain, untuk meningkatkan hubungan pembayaran digital serantau dan meningkatkan kewangan yang mampan.

    Yang Berhormat Dato juga menyuarakan sokongan Brunei Darussalam untuk memupuk kedayatahanan ASEAN.

    Dalam hal tersebut, beliau mengharapkan inisiatif dan projek konkrit untuk merealisasikan cadangan jaminan makanan dan kerjasama sektor kewangan serta kesihatan.

    Di samping itu, beliau turut mengongsikan usaha negara untuk mempersiapkan diri menghadapi pandemik masa depan termasuk penubuhan Pusat Pengawasan Unit Perisikan dan Tindak Balas Epidemik, dan penganjuran Persidangan Kesihatan Awam Digital ASEAN sejak dua tahun lalu.

    Setiausaha Tetap (Fiskal II) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Suraya binti Haji Jaidin; Timbalan Pengarah Urusan (Operasi Monetari/Pembangunan dan Antarabangsa) BDCB, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman, pegawai-pegawai dari Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan BDCB turut menghadiri mesyuarat tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda