Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agensi pelancongan tertua dunia gulung tikar

    Situasi cemas menyelubungi Lapangan Terbang Palma De Mallorca, Sepanyol apabila penumpang pesawat Thomas Cook yang rata-ratanya warga Britain terpaksa beratur panjang dan menunggu lama gara-gara ketidakpastian sama ada mereka boleh terbang pulang ke tanah air.

    Pada masa sama, banyak pelancong yang tiba di Sepanyol untuk memulakan cuti mendapati tempahan hotel yang mereka buat menerusi gergasi pelancongan Britain, Thomas Cook tidak sah.

    Marianne Strenger, seorang pesara berumur 70 tahun telah datang ke Sepanyol dari Berlin, Jerman bersama anak perempuannya untuk bercuti selama seminggu telah dimaklumkan staf Hotel Palma Bay bahawa mereka tidak menerima apa-apa tempahan daripada Thomas Cook untuk dirinya.

    Tetamu lain yang melakukan tempahan dengan Thomas Cook turut melalui situasi yang sama apabila mereka cuba untuk mendaftar masuk ke hotel.

    Itulah yang terjadi baru-baru ini apabila Thomas Cook mengisytiharkan syarikatnya muflis selepas usaha terakhir menyelamatkan syarikat tersebut gagal. Ia sekali gus mencetuskan usaha penghantaran pulang terbesar warga Britain ke negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

    Thomas Cook telah diasaskan pada tahun 1841 dan syarikat itu menjadi perintis kepada penawaran khidmat pakej percutian. – AFP
    Pada tahun 1972, Thomas Cook telah menawarkan percutian pengembaraan mengelilingi dunia dalam tempoh masa 200 hari. – AFP

    Terdesak

    Syarikat berusia 178 tahun itu terdesak mendapatkan peruntukan berjumlah AS$250 juta daripada pelabur persendirian untuk mengelakkan bankrap. “Di sebalik usaha gigih, rundingan antara pemegang kepentingan syarikat dengan pelabur tidak membuahkan hasil.

    “Lembaga pengarah merumuskan bahawa ia tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil langkah melaksanakan pencairan mandatori berkuat kuasa serta-merta,” kata Thomas Cook dalam satu kenyataan.

    Setiausaha Pengangkutan Britain, Grant Shapps mengumumkan, kerajaan dan Pihak Berkuasa Aviasi Britain menyewa berpuluh-puluh pesawat untuk menerbangkan pelanggan Thomas Cook pulang ke tanah air tanpa dikenakan sebarang bayaran.

    Operasi penghantaran pulang itu adalah yang terbesar dalam sejarah Britain selepas era peperangan. Menurut beberapa laporan, kejatuhan Thomas Cook juga bermakna kerajaan Britain terpaksa membawa pulang seramai 600,000 pelancong di dunia yang terkandas termasuk kira-kira 150,000 orang yang meminta bantuan kerajaan untuk pulang ke Britain.

    Pengisytiharan muflis itu juga memaksa Thomas Cook menutup agensi pelancongan miliknya dan mengakibatkan 22,000 kakitangan firma berkenaan di seluruh dunia termasuk 9,000 di Britain hilang pekerjaan.

    Thomas Cook telah diasaskan pada tahun 1841 dan syarikat itu menjadi perintis kepada penawaran khidmat pakej percutian. Pakej percutian pertama yang ditawarkan oleh Thomas Cook adalah pada tahun 1841 iaitu percutian kereta api dari Leicester ke Loughborough untuk 500 orang.

    Pada tahun 1972, Thomas Cook telah menawarkan percutian pengembaraan mengelilingi dunia dalam tempoh masa 200 hari. Sebelum ini, syarikat yang mengendalikan perkhidmatan pelancongan dan syarikat penerbangan itu menjana hampir AS$12.5 bilion dalam perolehan tahunannya dan mengangkut kira-kira 20 juta pelanggan di seluruh dunia setiap tahun.

    Destinasi percutian yang ditawarkan termasuklah ke Maldives, Thailand, China selain rantau Eropah Selatan dan lain-lain lagi. Syarikat itu juga dikatakan memiliki 200 buah hotel yang dipisahkan kepada beberapa jenama berbeza. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda