CANBERRA, 29 OKT – Agensi sains kebangsaan Australia akan memanggil usahawan dari seluruh rantau Indo-Pasifik untuk menunjukkan penyelesaian inovatif mereka untuk menamatkan sisa plastik.
Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO) mengumumkan hari ini bahawa lebih 20 pasukan antarabangsa akan berkumpul di Jakarta, Ho Chi Minh dan Bangkok pada Oktober dan November untuk menunjukkan cara penyelesaian mereka mengubah pengeluaran, penggunaan dan kitar semula plastik.
Semua pasukan tersebut telah mengambil bahagian dalam Program Pemecut Rangkaian Inovasi Plastik Indo-Pasifik CSIRO dan berpeluang mendapat pembiayaan daripada agensi berkenaan dalam usaha menamatkan sisa plastik.
Timbalan ketua eksekutif CSIRO, Kirsten Rose berkata bahawa perkongsian antarabangsa adalah penting untuk menangani cabaran global seperti sisa plastik.
“Pencemaran plastik ialah krisis global yang tidak mengenal sempadan dan kita tidak boleh menanganinya sendirian. Bekerjasama dengan jiran kita adalah penting untuk memajukan teknologi dan inovasi perniagaan, membolehkan kita mengharungi ketidaktentuan ekonomi,” katanya.
“Dengan bekerjasama merentasi sempadan, kita boleh mewujudkan wilayah yang lebih berdaya tahan, sihat dan makmur,” katanya lagi.
Menurut CSIRO, lebih 400 juta tan sisa plastik dihasilkan di seluruh dunia setiap tahun dan angka itu dianggarkan meningkat dua kali ganda menjelang 2040.
Penyelidikan pertama yang diterbitkan oleh CSIRO pada April menganggarkan sehingga 11 juta tan pencemaran plastik berada di dasar lautan.
Syarikat baru Indonesia, Plustik akan berada di Jakarta mempamerkan pendekatan mereka terhadap kitar semula yang menukar sisa plastik bernilai rendah yang diekstrak dari tapak pelupusan kepada produk komersial termasuk blok turapan dan dek lantai.
CSIRO telah menetapkan matlamat untuk mengurangkan jumlah sisa plastik yang memasuki persekitaran Australia sebanyak 80 peratus menjelang 2030. – Xinhua