Komposer asal Indonesia Ari Bias tetap dengan pendirian melarang penyanyi Agnez Mo menyanyikan lagu-lagu ciptaannya dalam mana-mana persembahan pentas.
Tindakan itu dibuat susulan pihak pengurusan Agnez enggan memberi kerjasama baik selepas Ari memegang hak cipta dan lesen terus lagu ciptaannya dalam melindungi royalti seorang komposer.
Menurut Ari dia sudah berhubung dengan pihak pengurusan Agnez sejak Julai tahun lalu namun gagal mendapatkan sebarang maklum balas mengenai isu tersebut.
“Pihak pengurusan Agnez tidak bertanggungjawab disebabkan tidak pernah memberi respons saya melarang lagu-lagu ciptaan saya untuk Agnez dinyanyikan dalam mana-mana acara,” katanya.
Lesen terus merupakan satu perjanjian antara komposer dan penyanyi yang menetapkan syarat-syarat tertentu buat seorang artis membawakan lagu ciptaan mereka.
Menerusi perjanjian tersebut, seorang komposer boleh mendapatkan hasil kutipan royalti lebih tinggi.
“Komposer tidak mendapat hak royalti atau kutipan daripada artis yang membawakan lagu-lagu mereka di konsert,” ujarnya.
Memetik laporan Suara, Agnez dikatakan tidak pernah membayar royalti lagu-lagu ciptaan Ari sebelum ini.
Untuk rekod antara lagu-lagu ciptaan Ari untuk Agnez adalah Bilang Saja, Tak Bisa, Ku Di Sini, Bukan Milikku Lagi dan Tak Kan Sampai Di Sini. – Agensi
