Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Upacara mengangkat sumpah bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang baharu telah berlangsung di Dewan Persidangan, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, kelmarin.
Dalam upacara tersebut, ahli-ahli telah mengangkat sumpah dan menandatangani pengakuan di hadapan Yang Dipertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Ahli-ahli yang dilantik terdiri daripada ahli rasmi kerana jawatan, orang-orang bergelar, orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan dan wakil yang dilantik dari daerah-daerah.
Upacara mengangkat sumpah didahului oleh ahli rasmi kerana jawatan iaitu Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim.
Kemudian diikuti oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Seterusnya Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Diikuti lagi oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Kemudian diikuti oleh orang-orang bergelar iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusuf.
Orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan menyusul yang terdiri daripada Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, Yang Berhormat Lau How Teck, Yang Berhormat Chong Chin Yee, Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin, Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin dan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Upacara seterusnya diikuti oleh wakil yang dilantik dari daerah-daerah iaitu Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang mewakili Zon 4 Daerah Brunei dan Muara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat mewakili Zon 3; Yang Berhormat Awang Zainol bin Mohamed mewakili Zon 5; Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong mewakili Zon 1, dan Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan mewakili Zon 2.
Bagi Daerah Belait, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman mewakili Zon 1 dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann mewakili Zon 1, Daerah Tutong diwakili oleh Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub bagi Zon 1 dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan bagi Zon 2 manakala itu, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir pula mewakili Daerah Temburong.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.
Dengan ikrar yang dilafazkan oleh ahli-ahli MMN tersebut akan menjadi sebuah tanggungjawab untuk membantu dalam menjaga dan mengekalkan matlamat negara, menjayakan kemakmuran dan memajukan kehidupan rakyat serta penduduk di Negara Brunei Darussalam.
Ini adalah untuk menyempurnakan tanggungjawab kerajaan dalam menuju ke arah satu tahap kestabilan politik dan sosial ekonomi yang sangat membanggakan.
Upacara berkenaan adalah sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 49 daripada Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959, iaitu tiap-tiap ahli MMN, sebelum memulakan kewajipan-kewajipan jawatan dan menduduki kerusi masing-masing, hendaklah mengangkat sumpah dan menandatangani pengakuan di hadapan Yang Dipertua dalam bentuk yang dinyatakan dalam Borang IV di dalam Jadual Pertama.