Monday, June 17, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    AI hasilkan klon suara yang hilang

    PROVIDENCE, RHODE ISLAND – Suara Alexis ‘Lexi’ Bogan sebelum musim panas lalu adalah ceria dan penuh semangat.

    Dia suka memainkan lagu balada Taylor Swift dan Zach Bryan di dalam kereta. Dia ketawa sepanjang masa. Di sekolah menengah, dia adalah seorang soprano dalam koir.
    Kemudian suara itu hilang.

    Pada Ogos, doktor mengeluarkan tumor mengancam nyawa yang ditemui berhampiran bahagian belakang otaknya. Apabila tiub pernafasan dikeluarkan sebulan kemudian, Bogan mengalami masalah menelan dan sukar untuk berkata ‘hai’ kepada ibu bapanya. Berbulan-bulan rehabilitasi membantu pemulihannya, tetapi pertuturannya masih terjejas.

    Pada April lalu, wanita berusia 21 tahun itu mendapat kembali suara lamanya. Bukan yang sebenar, tetapi klon suara yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) yang boleh digunakannya menerusi aplikasi telefon.

    Dilatih menggunakan rakaman suaranya semasa remaja berdurasi 15 saat, daripada video demonstrasi memasak yang dirakamnya untuk projek sekolah menengah, suara AI yang sintetik tetapi sangat kedengaran seperti sebenar kini boleh mengatakan hampir apa sahaja yang dia mahukan.

    Dr Rohaid Ali memainkan video daripada projek sekolah menengah yang dibuat oleh Alexis Bogan. – AP
    Reaksi Alexis Bogan (tengah) dan ibunya, Pamela Bogan (kanan) apabila mendengar suaranya yang hilang setelah ditaip oleh Dr Fatima Mirza (kiri) di Hospital Rhode Island, Providence, R.I. – AP
    Alexis Bogan menaip jawapan kepada soalan wartawan dengan aplikasi yang menyerupai suaranya yang hilang pada 11 Mac lalu. – AP
    Alexis Bogan menggunakan telefon dengan aplikasi yang menampilkan alat pengklonan suara untuk memesan minuman secara pandu lalu pada 29 April di Lincoln, R.I. – AP
    Gambar AP

    RISIKO

    Pakar-pakar telah memberi amaran bahawa teknologi pengklonan suara AI yang meningkat pesat boleh memperluaskan penipuan telefon, mengganggu pilihan raya demokratik dan mencabul maruah orang – hidup atau mati – yang tidak pernah bersetuju untuk mencipta semula suara mereka bagi mengatakan perkara yang tidak pernah dituturkan mereka.

    Ia telah digunakan untuk menghasilkan robocall palsu kepada pengundi New Hampshire yang meniru suara Presiden Joe Biden. Di Maryland, pihak berkuasa baru-baru ini mendakwa seorang pengarah olahraga sekolah menengah yang menggunakan AI untuk menghasilkan klip audio palsu pengetua sekolah yang membuat kenyataan
    berbaur perkauman.

    Tetapi Bogan dan sepasukan doktor di hospital Lifespan, Rhode Island percaya mereka telah menemui penggunaan yang mewajarkan risiko itu. Dia adalah antara orang pertama dan yang pertama dengan keadaannya yang bekerja dengan pembuat ChatGPT, OpenAI untuk meniru suara yang hilang.

    “Kami berharap Lexi menjadi pelopor ketika teknologi terus berkembang,” kata Dr Rohaid Ali, residen pembedahan saraf di sekolah perubatan Brown University dan Hospital Rhode Island. Berjuta-juta orang yang mengalami strok, kanser tekak atau penyakit neurogeneratif boleh mendapat manfaat berkenaan, katanya.

    LATIHAN SUARA AI

    Bogan terpaksa kembali beberapa tahun untuk mencari rakaman suaranya yang sesuai untuk ‘melatih’ sistem AI tentang cara dia bercakap. Ia adalah video di mana dia menerangkan cara membuat salad pasta.

    Doktornya sengaja memberikan klip 15 saat kepada sistem AI. Bunyi memasak menjadikan bahagian lain video tidak sempurna. Ia juga apa yang hanya diperlukan OpenAI – peningkatan berbanding teknologi sebelumnya yang memerlukan sampel lebih panjang.

    Mendapatkan sesuatu yang berguna daripada 15 saat boleh menjadi perkara penting bagi mana-mana pesakit masa depan yang tidak mempunyai kesan suara mereka di internet.

    Mel suara ringkas yang ditinggalkan untuk saudara mungkin sudah memadai.

    Apabila mereka mengujinya buat kali pertama, semua orang terpegun dengan kualiti klon suara Bogan. “Saya menjadi sangat emosi setiap kali saya mendengar suaranya,” kata ibunya, Pamela Bogan, dengan linangan air mata.

    MENGGUNAKAN SUARA AI

    Bogan menaip beberapa perkataan atau ayat ke dalam telefonnya dan aplikasi khasnya membacanya dengan serta-merta.

    Dia kini menggunakan suara AI kira-kira 40 kali sehari dan menghantar maklum balas yang diharapnya akan membantu pesakit masa depan. Salah satu percubaan pertamanya adalah bercakap dengan kanak-kanak di prasekolah tempatnya bekerja sebagai pembantu pengajar.

    Dia menggunakannya di kedai untuk bertanya di mana hendak mencari barang. Ini membantunya berhubung semula dengan ayahnya, yang mengalami masalah pendengaran dan bergelut untuk memahaminya.

    Dan ia memudahkannya untuk memesan makanan segera.

    “Hai, saya mahu espreso kocok susu oat dengan gula bersaiz besar,” kata suara AI Bogan sambil dia menghulurkan telefon keluar dari tingkap keretanya di perkhidmatan pandu lalu.

    “Saya fikir ia hebat kerana saya boleh mempunyai suara itu semula,” katanya. Ini membantu meningkatkan keyakinannya dan memulihkan sebahagian daripada identitinya yang difikirkannya akan hilang selama-lamanya.

    SIAPA SETERUSNYA?

    Doktor Bogan telah mula mengklon suara pesakit Rhode Island yang lain dan berharap dapat membawa teknologi itu ke hospital-hospital di seluruh dunia. OpenAI berkata ia mengambil langkah berhati-hati dalam mengembangkan penggunaan alat yang digelar Enjin Suara, yang belum tersedia secara umum.

    Syarikat-syarikat lain yang mempunyai perkhidmatan penjanaan suara yang tersedia secara komersil mengatakan mereka melarang penyamaran atau penyalahgunaan, tetapi ia berbeza dalam cara mereka menguatkuasakan syarat penggunaannya.

    “Kami mahu memastikan bahawa setiap orang yang suaranya digunakan dalam perkhidmatan itu bersetuju secara berterusan,” kata Jeff Harris, ketua OpenAI mengenai produk itu. “Kami mahu memastikan ia tidak digunakan dalam konteks politik.”

    Harris berkata langkah OpenAI seterusnya melibatkan pembangunan alat ‘pengesahan suara’ yang selamat supaya pengguna boleh meniru suara mereka sendiri sahaja, dengan kemungkinan pengecualian untuk penyedia perubatan boleh dipercayai yang bekerja dengan pesakit.

    Walaupun buat masa ini dia mesti bermain-main dengan telefonnya untuk membolehkan enjin suara bercakap, Bogan membayangkan enjin suara AI yang menambah baik penyelesaian lama untuk pemulihan pertuturan dalam gabungan dengan tubuh manusia
    atau menterjemah perkataan dalam masa nyata.

    Dia kurang pasti tentang apa yang akan berlaku apabila dia semakin dewasa dan suara AI itu terus kedengaran seperti suaranya semasa remaja.

    Mungkin teknologi itu boleh ‘menuakan’ suara AI, katanya.

    Buat masa ini, “walaupun saya tidak dapat memulihkan suara saya sepenuhnya, saya mempunyai sesuatu yang membantu saya mencari suara saya semula,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hujan buatan bantu padam kebakaran gunung di utara China

    TAIYUAN, 16 JUN - Kebakaran gunung di wilayah Shanxi, utara China telah dipadamkan pada tengah hari tadi, selepas empat hari berusaha memadam kebakaran dibantu...