Wednesday, November 6, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aidiladha disambut 10 Julai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah 1443 Hijrah bersamaan dengan 10 Julai 2022 setelah hasil rukyah menetapkan 1 Zulhijah 1443H bagi negara ini jatuh pada Jumaat, 1 Julai yang telah diumumkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei hari ini.

    Sehubungan itu, sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha akan bermula pada jam 7:30 pagi hari tersebut.

    Pengumuman dibuat setelah menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui pemakluman oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku yang di-pertua Majlis Ugama Islam.

    Yang Berhormat Pehin membuat pengumuman itu setelah selesai persidangan mengenai hasil merukyah anak bulan Zulhijah 1443 Hijrah yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis, Berakas.

    Persidangan turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar sementara Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar menghadirinya secara maya.

    Pada tahun ini, empat buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Zulhijah 1443 Hijrah, iaitu Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait; dan Bukit Ambog, Daerah Tutong.

    Hakim-hakim syarie dan para pegawai Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur,

    Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri telah berada di empat lokasi yang telah ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Zulhijah, 1443 Hijrah).

    Terdahulu, majlis keagamaan telah diadakan sementara menunggu hasil rukyah 1 Zulhijah 1443 Hijrah di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, KHEU. 

    Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diikuti bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid sebelum sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

    Para pegawai semasa merukyah anak bulan Zulhijah di Bukit Agok, Jerudong. – Gambar serahan Infofoto
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menghadiri persidangan mengenai hasil merukyah di KHEU, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda