Monday, March 17, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aidiladha terus bersemarak

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Sambutan Hari Raya Aidiladha terus disemarakkan lagi dengan majlis ibadah korban yang dilakukan oleh pelbagai pihak di beberapa buah tempat di negara ini.

    Antara yang mengadakan majlis ibadah korban hari ini ialah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang berlangsung di kawasan luar Surau Polis Gadong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya mengagihkan daging-daging korban ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali.

    Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid.

    Majlis itu disertai seramai 44 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PPDB serta keluarga masing-masing, di mana sebanyak enam ekor sapi dan dua ekor kambing telah dikorbankan.

    Pesuruhjaya Polis menyempurnakan pengagihan daging korban pada majlis anjuran PPDB, di Surau Polis Gadong, kelmarin.
    Pengagihan daging korban pada majlis anjuran UTB disempurnakan oleh Profesor Dr Hajah Zohrah. – Gambar serahan UTB
    Pengarah Urusan Takaful Brunei menyerahkan agihan daging korban kepada salah seorang pe-nerima. – Gambar serahan Takaful Brunei
    Majlis pengagihan daging korban anjuran Perbadanan TAIB turut diadakan secara pandu lalu. – Gambar serahan Perbadanan TAIB

    Turut mengadakan majlis seumpamanya hari ini ialah Universiti Teknologi Brunei (UTB), di mana acara diselajurkan dengan majlis akikah bertempat di dewan serba guna universiti berkenaan.

    Menurut kenyataan UTB, hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman yang turut menyempurnakan pengagihan daging korban kepada 21 peserta korban, 30 asnaf fakir miskin dan pelajar yang kurang berkemampuan secara pandu lalu.

    Terdahulu itu, majlis juga dimeriahkan dengan ceramah keagamaan bertajuk ‘Penghayatan Ibadah Korban dalam Kehidupan’ yang disampaikan oleh pensyarah dari Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Hayattuddin bin Haji Moksin.

    Manakala itu, pada majlis yang berasingan di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, Takaful Brunei mengagihkan daging korban kepada lebih 50 keluarga yang kurang berkemampuan di kampung berkenaan.

    Tiga ekor lembu telah dikorbankan pada majlis berkenaan yang disertai oleh warga Takaful Brunei.

    Menurut kenyataan daripada Takaful Brunei, pengagihan daging korban disempurnakan oleh Pengarah Urusan Takaful Brunei, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya.

    Sementara itu, di Daerah Temburong, majlis pengagihan daging korban turut diadakan oleh Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) bersama anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd bertempat di Masjid Kampung Belais, Temburong.

    Menurut kenyataan di sini, sebanyak 11 ekor sapi telah dikorbankan hasil daripada penyertaan warga serta keluarga Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, di mana sebahagian daging korban telah diagih-agihkan kepada seramai 50 orang penerima yang terdiri daripada penduduk Mukim Bokok yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan golongan asnaf fakir miskin di Kampung Belais dan Kampung Buda-Buda secara pandu lalu.

    Turut menerima agihan daging-daging berkenaan ialah warga Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda