Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aidilfitri: Pilih hidangan sihat, rendah gula

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Bulan Syawal telah memasuki hari ke-4 dan sambutan Hari Raya Aidilfitri terus berlangsung meriah dengan peluang cuti khas digunakan sebaik mungkin.

    Seperti lazimnya, sambutan bertambah meriah dengan rumah-rumah terbuka yang menghidangkan pelbagai juadah menyelerakan malah ada juga juadah yang dihidangkan itu hanya boleh dinikmati pada bulan Syawal sahaja, tidak kurangnya dengan kuih-muih beraneka jenis serta minuman kordial dan berkarbonat.

    Walaupun nampak menyelerakan, tapi beberapa juadah semasa Hari Raya ini boleh menyumbang kepada penambahan berat badan jika ianya tidak dikawal pengambilannya.

    Tambahan pula, makanan dan minuman yang banyak ini akan menyukarkan seseorang untuk terus berada di landasan yang betul dalam memantau pemakanan dan kesihatan mereka terutama bagi mereka yang menghidap diabetes, darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit tidak berjangkit lain.

    Media Permata berpeluang menemu bual salah seorang pesakit diabetes, Juri Yusuf yang berpendapat, semasa rumah terbuka sudah pasti tuan rumah menghidangkan pelbagai jenis juadah yang lazat di samping beraneka kek lapis yang terkenal, dengan kuih mor dan kek tapak kuda adalah antara kuih yang mempunyai ramai peminat.

    Antara juadah yang wajib ada semasa rumah terbuka ketika Aidilfitri.
    Pilihlah makanan tradisional Hari Raya yang kurang gula dan kurang lemak ketika menjamu selera.

    “Bagaimanapun, kita mesti ingat bahawa ini adalah antara kuih yang mengandungi makanan tinggi gula. Mungkin kita boleh memakannya tetapi tidak dalam kuantiti yang banyak dan dalam masa yang sama, kita mesti memastikan pengambilan makanan dan minuman secara sederhana,” jelasnya.

    Manakala itu, bagi mereka yang mengambil ubat, mereka perlu memastikan setiap ubat yang telah diberikan oleh doktor diambil tepat pada masanya, dan jangan sesekali tidak mengambil berat tentang kesihatan atau memandang remeh saja terhadap kesihatan diri.

    Beliau seterusnya menjelaskan, jika ada pilihan lain yang lebih sihat, seseorang boleh memilihnya contohnya, minum air kosong berbanding minuman berwarna atau berkarbonat.

    “Jika mereka mengunjungi lebih daripada satu rumah terbuka dalam sehari, pastikan untuk memantau pengambilan gula kerana mereka mungkin berakhir dengan paras gula yang tinggi dan makan secara sederhana,” tambahnya.

    Sementara itu, Kahirul Iman pula berkata, semasa mengunjungi rumah terbuka tidak semestinya perlu mengambil atau makan semua makanan yang disediakan oleh tuan rumah.

    “Pengambilan pemakanan sihat yang telah diamalkan sepanjang bulan Ramadan hendaklah diteruskan pada bulan Syawal,” ujarnya.

    Mereka masih boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan larian atau berjalan kaki selepas mengunjungi rumah terbuka untuk membakar kandungan kalori yang tinggi dalam makanan yang berlemak, bergula dan berminyak.

    Bagi mereka yang menganjurkan rumah terbuka pula, mungkin mereka boleh memasak atau menyediakan pilihan yang lebih sihat seperti mengurangkan gula, menggantikan santan dengan susu rendah lemak, menggantikan roti biasa kepada mil penuh dan lain-lain.

    Ini supaya mereka yang mempunyai masalah diet atau kesihatan, akan mempunyai pilihan untuk menikmati hidangan bagi manfaat kesihatan mereka.

    “Jika tuan rumah menyediakan buah-buahan, mereka boleh memilih pilihan itu tetapi bukan untuk penggunaan yang banyak kerana sesetengah buah juga mengandungi gula yang tinggi terutamanya apabila ia dijadikan jus,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda