Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Dalam memeriahkan Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), Pengarah Urusan AIFA Sdn Bhd, Dr Andy Lau telah mengadakan acara tarian singa di Ibu Pejabat AIFA, Lambak, hari ini.
Pada tahun ini, AIFA menjemput Pasukan Tarian Singa dari Sekolah Menengah Chung
Hwa Brunei dan Muara yang melibatkan seramai 30 orang ahlinya.
Tarian singa atau wu shi dalam Bahasa Mandarin boleh dianggap sebagai antara pelengkap sambutan TBC kerana masyarakat Tionghua percaya tarian itu membawa tuah kepada mereka jika persembahan diadakan di kediaman atau premis perniagaan masing-
masing.
Diiringi paluan gendang dan gong serta lagaan simbal, penari-penari di sebalik kostum singa atau naga menunjukkan ketangkasan melakukan pelbagai aksi akrobatik yang sering memukau perhatian penonton.
Peredaran masa juga menyaksikan kumpulan tarian singa dan naga kini tidak lagi hanya terdiri daripada kaum Cina, sebaliknya dianggotai pelbagai bangsa.