Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AIMC 2021 promosi pengantaraan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Dengan tujuan untuk mempromosikan penggunaan pengantaraan secara berkesan selain memberikan peluang pertukaran pandangan dan percambahan ilmu, Persatuan Pelajar Undang-undang Asia Brunei Darussalam (ALSA Brunei) telah menganjurkan Pertandingan Pengantaraan Antarabangsa ALSA (AIMC) 2021, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertandingan kali kedua itu telah diadakan secara dalam talian di Pusat Timbangtara Brunei Darussalam (BDAC), pada 23 hingga 25 Julai lalu dan disertai para peserta dari Indonesia, Singapura, Malaysia, Korea Selatan, Sri Lanka India dan Vietnam.

    Pengumuman pemenang pertandingan berkenaan diadakan melalui platform Zoom pada hari terakhir.

    Dengan menyaksikan krisis pandemik COVID-19 yang masih melanda dunia, Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) dalam talian terutamanya timbang tara (arbitration) dan pengantaraan (mediation) telah menjadi kaedah yang sangat berkesan dalam menyelesaikan konflik.

    Penyelesaian kes dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang pendek berbanding litigasi mahkamah, serta penjimatan kos adalah antara sebab pengantaraan menjadi pilihan.

    Kenyataan menyatakan, pertandingan merupakan susulan pertandingan yang telah diadakan buat julung kalinya oleh ALSA Malaysia pada 2020 yang secara umumnya bertujuan untuk mempromosikan penggunaan pengantaraan, mendorong generasi baharu yang memiliki pelbagai kelayakan dan akademik ke bidang pengantara sebagai kerjaya, sekali gus meningkatkan pengalaman dan kemahiran mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda