Penyanyi Malaysia, Shiha Zikir tidak dapat menahan sebak apabila bertentang mata dengan pelakon Mat Over yang mirip dengan wajah Allahyarham bapanya iaitu Mohd Zikir.
Menurut mStar, Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 37, berkata, dia mengajak Mat Over muncul dalam muzik video lagu terbaharunya berjudul Renjana kerana kesamaan wajah yang dimiliki dengan arwah bapanya.
“Bila sampai set penggambaran, saya jumpa pelakon yang pegang watak arwah abah. Ya Allah sangat mirip. Kebetulan saya juga mirip arwah anak dia.
“Dua-dua orang menangis bila jumpa tadi. Rindu abah sangat-sangat. Terima kasih banyak abang Mat Over terima pelawaan saya jadi watak abah… sangat mirip,” katanya.
Shiha berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya kelmarin yang turut memaparkan beberapa foto bersama arwah bapanya.

Menurut Shiha, air matanya tidak berhenti mengalir apabila bergandingan dengan Mat Over meskipun membawa mood gembira di dalam muzik video itu.
Kata Shiha, dia terimbau kembali hasrat bapanya yang sememangnya mahukan dia bergelar seorang penyanyi.
“Scene gembira tapi termenangis juga. Rindunya…arwah abah nak sangat tengok Shiha jadi penyanyi sebab dia ajar menyanyi dari kecil.
“Arwah meninggal hari Jumaat malam. Sedangkan Shiha dah janji nak balik kampung ambil abah ke KL hari Jumaat pagi,” ujarnya.
Jelas Shiha, lagu Renjana mengambil inspirasi daripada kisah hidupnya bersama arwah bapanya.
“Lagu ini sangat bermakna dalam hidup Shiha. Lagu ini saya gubah sendiri berkisarkan tentang kisah hidup saya dengan arwah abah,” kongsinya.
Untuk rekod, bapa Shiha meninggal dunia pada tahun 2008. – Agensi