KUALA LUMPUR, 7 JULAI – AirAsia Digital, cabang digital AirAsia Group serta Gojek, platform perkhidmatan dan pembayaran mudah alih Indonesia hari ini mengumumkan kerjasama pengambilalihan operasi Gojek di Thailand oleh AirAsia Digital.
Menurut kenyataan AirAsia hari ini, perkongsian itu dijangka dapat mengembangkan AirAsia Super App di ASEAN dan pada masa sama meningkatkan pelaburan Gojek
dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.
Ia menjelaskan, selain itu, Gojek akan menerima pegangan saham dalam AirAsia Super App yang kini mencatatkan nilai pasaran kira-kira AS$1 bilion (AS$1=RM4.16).
“Kerjasama ini menyediakan asas kukuh bagi kedua-dua pihak untuk terus meneroka peluang tambahan bagi kerjasama dan sinergi di Asia Tenggara yang menjadi antara rantau paling pesat berkembang di dunia,” menurut AirAsia.
Sebagai sebahagian komitmennya kepada Thailand, AirAsia Super App akan terus memanfaatkan ekosistem perkhidmatan sedia ada bagi rakan penghantar, peniaga dan pelanggan di samping mengetengahkan tawaran baharu seperti barangan runcit dan produk kecantikan.
AirAsia menambah perkhidmatan tersebut juga akan dikembangkan ke pasaran baharu seperti Chiang Mai dan Phuket dalam masa terdekat. – Bernama