WARSAW, 28 JULAI – Di sebuah taman permainan di tengah Warsaw, alga membersihkan bahan cemar dan karbon dioksida untuk menyediakan gelembung oksigen bersih di sebuah bandar yang dinilai sebagai salah satu ibu negara paling tercemar di Kesatuan Eropah (EU).
“Timbulnya nilai yang besar dalam memperkenalkan bio-kecerdasan sistem semula jadi ke dalam bandar,” kata Marco Poletto, pengasas bersama firma reka bentuk bandar exoLogicStudio di sebalik projek tersebut.
Beliau mencadangkan supaya ‘mengubah bangunan kepada mesin hidup yang menghasilkan tenaga, menyimpan karbon dioksida dan membersihkan udara,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Ibu negara Poland dipilih untuk pelancaran edisi AirBubble memandangkan bandar itu amat memerlukan udara bersih.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) bulan lalu, Warsaw menduduki tempat ke-269 untuk kualiti udara dalam senarai 323 bandar Eropah.
Gelembung itu dipasang dengan puluhan silinder kaca yang mengandungi alga yang direndam dalam air yang menggunakan udara yang dipam masuk dari bahagian bawah.
Organisma hijau itu memakan molekul bahan cemar dan karbon dioksida sebelum melepaskan oksigen bersih dari atas bioreaktor.
Taman permainan kecil itu terletak bersebelahan Pusat Sains Copernicus, yang menempatkan seorang pekerja di sana untuk menjawab sebarang soalan dan memastikan tidak ada sesiapa yang cedera. – AFP
