LUNDU, 8 OKT – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar nama Akademi Penerbangan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Lundu, ditukar kepada Akademi Aeroangkasa.
Beliau berkata nama berkenaan lebih sesuai memandangkan akademi berkenaan bukan sahaja menumpukan terhadap industri penerbangan tetapi juga meliputi bidang angkasa lepas.
“Kita berkerjasama dengan pihak pendidikan tinggi dan rakan kita di luar (negara), contohnya Turkiye saya difahamkan dari segi pertahanan mereka sangat kuat (dalam bidang pertahanan dan kejuruteraan),” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Akademi Penerbangan CENTEXS di Lundu hari ini.
Beliau berkata kerajaan Sarawak juga bekerjasama dengan pihak Airbus dan Boeing untuk memperkukuh hubungan industri dan meningkatkan kualiti pendidikan serta latihan.
“Mudah-mudahan kita juga akan ada satelit sendiri. Mempunyai rangkaian satelit adalah untuk tujuan ekonomi supaya kita dapat menyediakan data berharga untuk pembangunan ekonomi,” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara CENTEXS dan Aviation Design Centre (ADC) serta Kolej Universiti i-CATS.
Pertukaran MoA itu bertujuan memperkukuh kepakaran dalam menawarkan inisiatif pembangunan bakat yang komprehensif bagi melahirkan juruteknik dan profesional mahir yang dapat memenuhi permintaan sektor penerbangan dan aeroangkasa. – Bernama