Thursday, July 4, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Akhbar Maghribi puji Atlas Lions

    RABAT, 15 DIS – Media Maghribi memuji pasukan bola sepak kebangsaan kelmarin ketika negara itu menerima kekalahan kepada Perancis untuk selangkah lagi ke final Piala Dunia, sekali gus menamatkan kempen mencipta sejarah mereka.

    “Maghribi kalah dengan penuh bermaruah,” menurut laman web berita, Lakome2.

    Atlas Lions merupakan pasukan Arab dan Afrika pertama yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dalam 92 tahun kejohanan utama bola sepak.

    Rentetan kemenangan, termasuk ke atas Belgium, Sepanyol dan Portugal, “membenarkan orang Arab dan Afrika berasa bangga,” tulis media sukan, Al-Mountakhab.

    “Kita tidak boleh salahkan Atlas Lions, walaupun kita pernah bermimpi untuk mara ke final,” katanya.

    Laman web sukan, Le360sport berkata perjalanan epik pasukan itu telah dihimpit ‘gangguan fizikal’ di barisan belakang – merujuk kepada kecederaan otot pemain pertahanan, Romain Saiss pada awal permainan dan penarikan pemain pertahanan tengah, Nayef Aguerd beberapa saat sebelum perlawanan bermula.

    Laman berita, Le Desk menyatakan bahawa pasukan itu telah terlepas ‘beberapa peluang untuk menjaringkan gol.’

    Sementara itu, media sosial telah dibanjiri dengan pelbagai pujian untuk pasukan dan kritikan untuk pengadil.

    “Kesedihan kita kerana dikalahkan tidak seharusnya membiarkan kita melupakan kegembiraan yang kita alami,” tulis seorang pengguna.

    Seorang pengguna lagi telah memuji pasukan atas ‘pengorbanan’ dan semangat juang mereka. “Terima kasih kerana telah memberikan kepercayaan dan senyuman kepada orang yang sangat memerlukannya.”

    Majalah kebudayaan Timur Tengah yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Markaz Review berkata bahawa “bagi berjuta-juta orang yang menonton… ia terasa seperti persembahan final.”

    Namun, ia berkata, ”Pemain daripada kedua-dua pasukan telah berjuang dengan berani dan melayan satu sama lain dengan pelukan dan sokongan moral, menunjukkan perubahan besar dalam hubungan antarabangsa antara bekas tanah jajahan dan musuh Eropah mereka.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM China ajak kerjasama AI antarabangsa

    SHANGHAI, 4 JULAI- Perdana Menteri China, Li Qiang hari ini menyeru kerjasama global dan pemikiran yang lebih terbuka dalam kecerdasan buatan (AI), ketika persaingan...