Wednesday, May 29, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    Umi Kalsum juara pertandingan video pendek

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Dayang Umi Kalsum binti Haji Mislee berjaya membawa pulang wang tunai $650 setelah menjuarai pertandingan video pendek bagi projek Take-A-Break: Living In The New Normal (Post COVID-19): Looking After Your Mental Health, pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Tempat kedua disandang oleh Dayang Nazatul Erna Natasha binti Aminuddin yang membawa pulang $500, manakala Dayang Noorzawanah binti Jubli berjaya mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang $350.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya berkesudian menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Methanol Brunei Sdn Bhd (BMC), Kaneshige Kubushiro.

    Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) UBD, Profesor Madya Dr Abby Tan, Pasukan Pengurusan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Pihak Pengurusan Kanan BMC, kakitangan dan para pelajar UBD.

    Sementara itu, Dayang Noor Angela Asyramisyanie binti Abdullah membawa pulang wang tunai $250 selepas memenangi video dengan jumlah ‘like’ terbanyak dan Putri Wulandari juga membawa pulang $250 bagi video paling berinspirasi.

    Kaneshige Kubushiro, Profesor Madya Dr Abby Tan, pihak kakitangan dan antara pelajar yang hadir pada majlis yang diadakan di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD, kelmarin.
    Kaneshige Kubushiro menyampaikan hadiah kepada Dayang Umi Kalsum selaku pemenang Pertandingan Video Pendek semasa majlis berkenaan.

    Pertandingan video pendek tersebut merupakan sebahagian daripada projek komuniti merupakan hasil inisiatif pelajar Kejururawatan Tahun Akhir Kohort 11 dari PAPRSB IHS, UBD dengan kerjasama BMC yang memfokuskan kesihatan mental.

    Pelajar-pelajar yang terlibat dalam projek tersebut ialah Dayang Nurfadhlin Najihah binti Haji Mohd Yussof, Awang Mohd Hafiy Waqiuddin bin Haji Supry, Dayangku AI Umairah binti Pengiran Haji Asyura, Dayang Nur Aida Farhanah binti Haji Ade Suhardy, dan Dayang Rahidah binti Ibrahim.

    Menurut Dayang Nurfadhlin dalam ucapannya, “Take-a-Break adalah peringatan singkat tetapi kuat kepada masyarakat bahawa tidak mengapa untuk berhenti seketika terutama dalam dunia yang serba pantas di mana kita menavigasi jalan kembali dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang telah berlaku akibat daripada COVID.

    “Ia juga bukan sahaja penting untuk menekankan kepentingan menjaga kesihatan mental kita sendiri tetapi juga sama pentingnya untuk menyedari orang di sekeliling kita,” kongsinya.

    Beliau turut berkata, “Melalui projek ini, kami juga berjaya meningkatkan kesedaran melalui pengedaran risalah dan poster serta membuat kandungan video di platform seperti Instagram dan TikTok.

    “Pasukan projek kami dengan sokongan sukarelawan dari Syarikat BMC, kakitangan dan pelajar PAPRSB IHS turut menyertai Bandarku Ceria untuk berinteraksi dengan orang ramai untuk bercakap mengenai kesihatan mental.”

    Beliau menambah, “Dalam tempoh tiga bulan sejak kami memulakan projek itu, laman Instagram kami telah berjaya menjangkau 28.2 ribu pengikut dan berinteraksi dengan kira-kira 300 orang sepanjang dua hari di Bandarku Ceria.”

    Projek tersebut dilakukan dengan bertemu dan berbincang dengan orang ramai di Bandarku Ceria di ibu negara pada 23 Oktober dan 13 November lalu yang dihadiri oleh pasukan serta sukarelawan dari UBD dan BMC.

    Pasukan itu juga mempamerkan projek mereka di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD semasa Forum Kesihatan Mental anjuran UBD pada 22 Oktober lalu. Projek tersebut diselia oleh pensyarah UBD, Dr Deeni Rudita Idris dan Agong Lupat, serta Awang Iswandy bin Ahmad dari BMC.

    Projek tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental selepas COVID, serta menekankan kepentingan berehat, masa untuk setiap individu merenung keadaan kesihatan mental dan kesedaran emosi mereka.

    Hidup dalam normal baharu melibatkan banyak perubahan daripada cara kita bekerja dan belajar kepada cara mengawal penularan selanjutnya wabak COVID, dan akhirnya mengakibatkan individu berhadapan dengan tekanan.

    Apabila kes COVID semakin meningkat di Brunei, kakitangan diberitahu untuk menjalankan kerja dari rumah, dan pelajar juga mengalami pembelajaran dalam talian dari rumah.

    Dan sekarang, kerana setiap orang telah kembali ke pejabat dan sekolah mereka sendiri, terdapat keperluan untuk penyesuaian kepada norma baharu; yang boleh memberi tekanan kepada sesetengah orang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis temukan anggota badan ahli parlimen Bangladesh yang dibunuh di India

    NEW DELHI, 29 MEI – Anggota badan yang disyaki milik seorang ahli parlimen Bangladesh yang dibunuh semasa lawatan ke India, telah ditemukan dalam tangki septik...