Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Kelab AKSE Bersatu, semalam, telah menandatangani kontrak perjanjian bersama pihak pengurusan AKSE Bersatu dan pemain-pemain yang bertujuan untuk menjaga hak pasukan dan pemain-pemain.
Majlis penandatanganan yang diadakan di Bangunan PA Hajah Rafeah, Kampung Mata-Mata, Gadong itu dikendalikan oleh Hitune Universal Services sebagai penaja rasmi kelab berkenaan.
Hadir selaku tetamu khas ialah Presiden AKSE Bersatu, Haji Fadillah bin Haji Samat. Majlis dimulakan dengan penandatanganan kontrak antara Pasukan AKSE Besatu dengan pihak pengurusan AKSE Bersatu dan diikuti dengan penandatanganan kontrak dengan seramai 21 orang pemain.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Haji Kamarul Azam bin Haji Rasid, diikuti dengan ucapan daripada Timbalan Presiden AKSE Bersatu, Haji Mohd Hairul Haimi bin Haji Usop.
Penandatanganan berkenaan juga bertujuan sebagai satu penghargaan buat pemain-pemain dan ahli jawatankuasa pengurusan yang bernaung di bawah pasukan AKSE Bersatu agar dapat memberikan komitmen yang padu serta semangat yang tinggi dalam sama-sama mencapai kejayaan selaras dengan slogan pasukan iaitu ‘Teguh Bersatu Setia di Dadaku’.
