Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei tawan podium Sibu International Powerboat Race

    Oleh Daniel Lim

    SIBU, 29 APRIL – Beberapa pelumba bot berkuasa tinggi dari Brunei telah beraksi cemerlang menamatkan perlumbaan di podium selepas bersaing dengan 262 pelumba lain dalam Sibu International Powerboat Race di Pulau Li Hua Waterfront, Sibu, Sarawak baru-baru ini.

    Sebanyak enam pasukan dari Brunei bertanding dalam perlumbaan yang berlangsung selama tiga hari berkenaan, termasuk pasukan Miratrisyia Racing Team, Ming Al Din Team, Jen-4, Eighty Ninety, Team Raja Kerbau Gemilang, dan MMRE.

    Residen Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman turut hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pasukan yang menang dan juga pelumba masing-masing.

    Antara pemenang adalah Haji Nordin bin Haji Idris daripada Ming Al Din Team mewakili Persatuan Bot Berkuasa Tinggi Brunei Darussalam (PBLBD) dalam pertandingan itu, setelah menduduki tempat pertama dalam kedua-dua perlumbaan pertama dan kedua Kategori Formula 3 (SST 60).

    Sementara Khairul Akmal Rizal Bin Khairul Ziadi dan Abdul Muhaimin Bin Armaini menduduki tempat pertama dan kedua semasa perlumbaan pertama Kategori 3 piston 30 hp, manakala Abdul Muhaimin Bin Armaini dan Md Suhaizal Bin Armaini dari Team Raja Kerbau Gemilang dan juga mewakili PBLBD dalam pertandingan berkenaan setelah menduduki tempat pertama dan ketiga semasa perlumbaan kedua Kategori 3 piston 30 hp.

    Abdul Muhaimin bin Armaini turut bertanding dalam perlumbaan pertama dan kedua dalam Kategori Formula 5, di mana beliau masing-masing mencapai tempat pertama dan ketiga.

    Turut hadir mengetuai pelumba bot berkuasa dari Brunei semasa pertandingan itu ialah Setiausaha Agung PBLBD, Hajah Aisah Binti Haji Abd Jalil.

    Aksi Haji Nordin dari Pasukan Ming Al Din semasa pertandingan berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara gambar ramai pasukan dari Brunei yang mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.
    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PBLBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda