Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti pengakap latih kanak-kanak lebih berdisiplin

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Seramai 30 orang ahli Pengakap Tunas dari Sekolah Chung Hwa Tutong dan Sekolah Chung Hwa Kiudang Tutong serta lapan orang penuntut dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong selaku pembantu telah terlibat menjayakan aktiviti Hari Terbuka Pengakap Tunas sempena Hari Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang berlangsung di tanah lapang belakang Ibu Pejabat Pengakap Daerah Tutong, kelmarin.

    Hadir pada majlis penutup hari terbuka tersebut ialah Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Undang-undang dan Dasar, Pertubuhan dan Aturan (POR), Haji Abdul Murad bin Haji Abdul Hadi selaku tetamu kehormat yang seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta yang terlibat.

    Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tutong, Haji Mohd Sufian bin Haji Abdul Karim dalam ucapannya pada majlis itu mengharapkan lebih banyak lagi sekolah swasta mahupun kerajaan menyertai dunia pengakap kerana dengan ia dapat melatih kanak-kanak agar lebih berdisiplin bagi menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran.

    Hari Terbuka Pengakap Tunas bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim dan persahabatan antara pengakap-pengakap tunas, guru-guru, ibu bapa serta pemimpin pengakap Persatuan Pengakap Daerah Tutong (PPDT).

    Ia juga diadakan bagi mendedahkan ilmu berpengakap dengan lebih meluas selain berkongsi pengalaman dengan rakan sebaya mengenai pembelajaran yang disampaikan iaitu satu pembelajaran yang menarik di luar sekolah sebagai aktiviti sampingan menjurus kepada kemahiran dan kecekapan; sebagai salah satu keistimewaan – Anugerah Skim Latihan Lencana (Link Badge) untuk ahli-ahli Pengakap Tunas berdasarkan kepada kemahiran yang dimiliki; dan melatih peserta-peserta untuk sentiasa mengamalkan kerjasama, bergotong-royong dan sokong-menyokong antara satu sama lain dalam berkumpulan.

    Salah seorang peserta, Dayang Kaiyisah binti Haji Muhd Asrul Saniy, 11, mengongsikan mengapa beliau berminat untuk menyertai pengakap seawal usia muda lagi.

    “Pengakap mempunyai banyak aktiviti yang menarik dan saya dapat mempelajari banyak benda yang berkaitan dengan kelangsungan hidup,” ujarnya.

    Pelajar Tahun 5 Sekolah Chung Hwa Tutong itu turut mengongsikan mengenai apa dipelajarinya sepanjang hari terbuka itu.

    “Hari ini, saya ada mempelajari bagaimana untuk menggunakan radio, bagaimana caranya untuk memberikan isyarat sekiranya kami sesat, pertolongan cemas dan pelbagai lagi,” jelasnya.

    Salah seorang murid cilik penuh semangat dan berani ketika menyertai aktiviti Hari Terbuka Pengakap Tunas sempena Hari Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang berlangsung di tanah lapang belakang Ibu Pejabat Pengakap Daerah Tutong, kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan
    Antara kanak-kanak yang memeriahkan Hari Terbuka Pengakap Tunas di tanah lapang belakang Ibu Pejabat Pengakap Daerah Tutong, baru-baru ini.
    Dayang Kaiyisah (kiri) bersama Trishanna dari Sekolah Chung Hwa Kiudang semasa ditemu bual media.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda