Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti riadah Kedutaan AS rai Hari Bumi

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kedutaan Amerika Syarikat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Usaha terus dilaksanakan dalam meningkatkan kesedaran mengenai perlunya untuk menghargai dan memulihara hutan di seluruh dunia.

    Sehubungan dengan itu, bagi meraikan Hari Bumi, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan aktiviti riadah mendaki yang disertai oleh kira-kira 25 alumni daripada program-program kerajaan AS dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar tempatan yang berlangsung di Taman Rekreasi Tasek Lama, di ibu negara, hari ini.

    Turut menyertai aktiviti itu ialah Duta AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland di mana dalam kata alu-aluannya mengetengahkan usaha yang diambil oleh kerajaan AS untuk mempromosi pemuliharaan alam sekitar dan memperingati Hari Bumi.

    Di Brunei, tambahnya, usaha itu termasuk daripada langkah mudah seperti menanam tumbuhan di taman perkarangan kedutaan dan menghoskan bengkel pemuliharaan marin untuk membantu Brunei dalam usahanya menubuhkan sebuah Pusat Perubahan Iklim ASEAN yang baharu.

    “Pada Hari Bumi dan setiap hari, AS komited untuk melindungi alam sekitar dan memperbaiki kesejahteraan serta kesihatan komuniti di seluruh dunia,” kata PYT Caryn McClelland lagi.

    Oleh itu, jelasnya, Presiden Biden telah menjadikan pemuliharaan dan perlindungan hutan sebagai satu keutamaan dalam pentadbirannya dengan menandatangani sebuah perintah eksekutif untuk memulihara 30 peratus tanah dan perairan AS menjelang 2030 iaitu sebuah usaha yang dikenali sebagai America the Beautiful.

    Beliau turut menyatakan menangani perubahan iklim merupakan keutamaan dalam keselamatan negara, diplomasi dan dasar luar negara AS di mana pada peringkat global, AS bekerjasama dengan organisasi antarabangsa, masyarakat, sektor swasta, dermawan dan kerajaan-kerajaan lain untuk menyokong dasar serta program yang memulihara keindahan alam semula jadi, menyediakan manfaat ekonomi untuk generasi akan datang, memelihara kehidupan dan mata pencarian warga di seluruh dunia serta menangani krisis iklim.

    Alumni program pertukaran kerajaan AS yang baru kembali, Syauqie Satia dan Joshua Belayan yang menyertai Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) Academic Fellowship telah mengetuai aktiviti mendaki berkenaan.

    PYT Caryn McClelland bergambar ramai semasa riadah di Tasek Lama.
    PYT Caryn McClelland bergambar ramai bersama para alumni program AS dan NGO alam sekitar tempatan semasa aktiviti riadah mendaki di Taman Rekreasi Tasek Lama.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda