Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Al-Quran leraikan kekusutan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Orang-orang beriman wajib meyakini dan berpegang kepada Al-Quran melalui pembacaan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan yang akan dapat menghuraikan segala perkara kusut dan menyuluh segala kegelapan.

    Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa ayat 174 yang tafsirnya, ‘Kami telah menurunkan kepada kamu cahaya (Al-Quran) yang menerangi segala-galanya,’ telah memberi isyarat, apa yang bersifat kusut atau gelap akan dapat dihuraikan dan disuluh oleh Al-Quran, termasuklah bencana wabak dianggap sebagai musibah menyeret kepada kegelapan hidup, maka Al-Quran mampu mengeluarkan manusia daripadanya apabila dibaca secara berterusan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa bertitah pada Sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas hari ini. 

    Baginda bertitah Al-Quran adalah penunjuk jalan yang lurus untuk diikuti dan sebagai sebagai penawar serta rahmat bagi orang beriman.

    Sehubungan itu, Baginda menegaskan Al-Quran mustahak dibaca dan difahami segala pengajarannya.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah bagi pemenang Kategori A, Dayang Amal ‘Aziyah binti Muhamad Saiful Ashren.
    Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1443 Hijrah, malam tadi.

    Orang-orang yang membaca dan memahaminya, tidak ragu lagi akan beroleh petunjuk dan keberkatan daripadanya.

    Keberkatan ini bukanlah remeh, malah sesuatu yang agung lagi istimewa dan adalah rugi jika terlepas peluang untuk merebutnya.

    “Cara merebut keberkatan itu tidak lain ialah dengan membaca dan memanfaatkan segala isi pengajaran Al-Quran itu.

    “Sebab itulah, Beta tanpa jemu-jemu menggalakkan supaya Al-Quran dipelajari, meliputi belajar membaca, menghafaz mahupun menggali pengajaran daripadanya,” tegas Baginda.

    “Al-Quran adalah aset kekal untuk dimanfaatkan ketika di dunia dan berkatnya pula akan menyusul kita sehingga ke akhir hayat.

    “Inilah hebatnya Al-Quran itu selaku Perlembagaan Lengkap untuk kita umat Islam dan ia bukan digubal oleh siapa-siapa melainkan datangnya dari Allah sendiri,” tekan Baginda lagi.

    Ketika menyentuh mengenai dua motif sambutan diadakan, Baginda menekankan ia adalah sebagai memperingati detik bersejarah turunnya Al-Quran kepada nabi dan rasul akhir, Muhammad SAW.

    Kedua adalah untuk mengulang-ulang pengenalan dan pemahaman terhadap kitab suci Al-Quran sebagai suluh atau pedoman untuk kita di dunia ini, tambah Baginda.

    Sehubungan itu, bersukut bulan Ramadan yang mulia, bulan yang diturunkan Al-Quran, Baginda menyeru umat Islam di negara ini untuk sama-sama menjadikan amalan membaca Al-Quran sebagai rutin harian, sama ada dalam bulan Ramadan sendiri atau di luar Ramadan.

    Baginda menekankan dengan berbuat demikian, kita akan memperoleh banyak kebaikan berupa ketenangan jiwa, kesihatan, kegembiraan, kebijaksanaan, petunjuk dan inayah Allah serta perlindunganNya.

    Sementara di akhirat pula, Al-Quran yang dibaca di dunia akan tampil memberikan syafaat kepada kita sebagaimana gambaran dari sebuah hadis riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda, maksudnya,

    ‘Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang pada hari kiamat untuk memberikan syafaat kepada pembacanya’.

    “Mudah-mudahan hadis ini menjadi motivasi berkesan kepada kita menjadikan Al-Quran sebagai teman rapat sehingga ke akhir hayat,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...