Lagu Alamak Raya Lagi mencipta sejarah baharu apabila meraih tontonan lebih 50 juta di saluran YouTube sejak dilancarkan pada Mac tahun lalu.
Tidak hanya itu, lagu nyanyian kumpulan DeFam itu juga berjaya menambat hati pendengar di Indonesia sekali gus membuka pelbagai kerjasama di negara jiran itu.
Gembira dengan kejayaan itu, ahli kumpulan DeFam iaitu Azira Shafinaz meluahkan rasa syukur apabila lagu mereka masih menjadi siulan pendengar walaupun muncul pelbagai karya baharu tahun ini.
Azira, 32, berkata dia percaya lagu berkenaan berada di tahap berbeza selain berharap ia akan kekal menjadi ‘evergreen’.
“Alhamdulillah, lagu Alamak Raya dah dapat lebih 50 juga tontonan di YouTube. Kami pun ada kerjasama dengan DJ dari Indonesia, ada buat remix ala-ala degum style, dangdut.
“Jadi, kalau boleh saya harapkan lagu itu akan menjadi lagu ‘evergreen’ dan setiap tahun orang akan mendengarnya,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Azira memberitahu banyak menerima pertanyaan tentang lagu raya naharu De Fam.
Bagaimanapun melihat sukar untuk menandingi Alamak Raya Lagi buat masa ini.
“Lagu Alamak Raya terlampau istimewa dan ia sudah meletakkan penanda aras kita tidak boleh nak tandingi,” kongsinya.
Berkongsi mengenai persiapan Aidilfitri, Azira memberitahu sambutan mereka sekeluarga biasanya sederhana. Malah memakai pakaian sedondon pada 1 Syawal bukan tradisi mereka seperti mana kebanyakan keluarga lain.
“Baju raya memang ikut suka, keluarga saya memang tidak akan tampil sedondon. Memang dah lama kami tak pakai baju sama warna.
“Baju raya saya pun beli hanya tiga pasang sahaja. Alhamdulillah ada kawan designer hadiahkan baju,” katanya. – Agensi