Saturday, November 16, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alat menangkap ikan pada zaman dahulu

    Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

     

    MENANGKAP ikan menggunakan alat ‘selambau’ adalah salah satu cara bagi orang-orang tua dahulu yang tinggal di Kampong Ayer untuk mendapatkan ikan sebagai mata pencarian mereka. Tidak semua penduduk di Kampong Ayer menggunakan ‘selambau’ ini. Alat ini hanya digunakan semasa waktu air surut yang memerlukan tiga orang penangkap ikan untuk mengendalikannya.

    Tiga batang kayu akan didirikan di sebelah kanan dan kiri di kawasan penangkapan ikan di mana setiap satu daripadanya akan dinaiki oleh seorang nelayan. Tali kalat kecil dan beberapa alat lainnya akan disediakan awal di atas perahu yang dinamakan sebagai ‘perahu bagong’ (sama dengan jenis perahu lumba atau perahu ‘pemukatan’ bersaiz sederhana kecil). Begitu juga ‘bata’ atau bekalan lain seperti ‘belatak’ dan siut juga perlu disediakan. Jenis kayu yang didirikan itu terdiri daripada kayu bakau atau buluh tua. Mereka akan duduk di atasnya (kayu bercabang tiga) selama berjam-jam untuk menunggu air pasang.

    Seorang nelayan akan berdiri di atas perahu memegang beberapa biji batu, kemudian apabila air mulai pasang, dua orang nelayan lain yang duduk di atas kayu itu akan bersedia dan mula menariknya secara perlahan-lahan. Pelbagai jenis ikan akan masuk ke dalam pukat ‘selambau’ ini seperti Kembura, Buntih, Tangat dan Banting-banting. Ikan-ikan segar ini akan ditangkap menggunakan siut oleh nelayan yang lebih berpengalaman dan dimasukkan ke dalam ruangan perahu.

    Selepas itu, pukat tersebut akan diturunkan semula secara perlahan-lahan ke dalam air oleh dua orang nelayan tadi yang berada di atas cabang kayu. Mereka biasanya akan duduk selama berjam-jam lamanya, tanpa menghiraukan cuaca panas dengan memakai sarung laki, baju dan seluar panjang untuk melindungi diri dari panas terik matahari.

    Pada zaman itu ‘penyelambau’ (penangkap ikan menggunakan cara selambau) akan memasang selambau mereka di tebing-tebing sungai. Ada juga penyelambau memasang alat itu di kawasan pesisir pantai. Secara kebiasaannya penyelambau pada zaman dahulu akan memasang selambau mereka di sungai berhampiran kawasan Jalan Residency, bertentangan dengan Kampong Ayer pada ketika itu.

    Menangkap ikan menggunakan alat ‘selambau’ adalah salah satu cara bagi orang-orang tua dahulu yang tinggal di Kampong Ayer untuk menangkap ikan sebagai mata pencarian mereka.
    Menangkap ikan menggunakan alat ‘selambau’ adalah salah satu cara bagi orang-orang tua dahulu yang tinggal di Kampong Ayer untuk menangkap ikan sebagai mata pencarian mereka.
    Suasana di perairan Sungai Brunei. Pengayuh yang digunakan padian pada masa itu bersaiz lebar.
    Suasana di perairan Sungai Brunei. Pengayuh yang digunakan padian pada masa itu bersaiz lebar.

    Penduduk kampung akan berkayuh mengeremuni penyelambau dan membeli hasil tangkapan mereka yang disimpan di dalam bakul ‘belatak’. Ikan-ikan akan ditimbang dengan menggunakan alat penimbang berat tradisional yang dinamakan ‘bechiuk’ dan dijual dengan harga semurah 50 sen ‘seciuk’ di mana kuantiti ikan yang dijual begitu banyak sehingga mampu menampung sebuah keluarga.

    Sekitar pukul 12 tengah hari, mereka (penyelambau) akan berehat dan makan tengah hari di atas perahu setelah barang-barang dan peralatan menangkap ikan seperti pukat selambau dan tiang turus dinaikkan ke perahu bagong mereka.

    Kampung Penyelambau yang letaknya diantara Kampung Cina dan Kampung Sultan Lama ketika itu didiami oleh penduduk yang tidaklah begitu ramai, kebanyakkannya terdiri daripada orang-orang tua yang berketurunan asal penyelambau dan dipercayai daripada keturunan Allahyarham Panglima Raja Othman.

    Begitulah kisah warisan yang menceritakan bagaimana orang-orang tua dahulu mendapatkan hasil mata pencarian mereka di mana kini cara penangkapan ikan menggunakan alat selambau semakin sukar dilihat atau disaksikan di mana-mana tempat. Kerja-kerja menyelambau adalah suatu pekerjaan yang sangat berat yang diusahakan menggunakan tenaga empat kerat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda