Tuesday, December 24, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz sedia hadapi Nadal buat kali terakhir

    RIYADH, 17 OKT – Carlos Alcaraz mengakui bahawa ia akan menjadi ‘detik sukar’ berdepan ‘idolanya’ Rafael Nadal apabila dua bintang Sepanyol itu bertemu buat kali terakhir.

    Nadal, memegang 22 gelaran Grand Slam, minggu lalu mengumumkan bahawa akan bersara dari tenis selepas Piala Davis di Malaga bulan depan.

    Namun hari ini, pemain berusia 38 tahun itu akan berdepan Alcaraz untuk menempah tempat ke final acara pertunjukan Six Kings Slam di Riyadh.

    “Sejak mula bermain tenis, saya selalu menonton perlawanan Nadal.

    “Saya mengaguminya dan saya membesar dengan menontonnya. Dia adalah idola saya, dan hingga kini masih lagi idola saya.

    Aksi Alcaraz semasa kejohanan tenis Shanghai Masters di Pusat Tenis Qizhong Forest Sports City di Shanghai, China, pada 10 Oktober. – AP

    “Dia seorang yang sangat penting dalam hidup saya, untuk kerjaya saya dan dia adalah salah satu sebab saya mahu menjadi pemain tenis profesional.

    “Mengetahui dia akan bersara agak sukar untuk semua orang termasuk saya,” kata Alcaraz selepas menewaskan Holger Rune 6-4, 6-2 untuk mengatur pertemuan penuh emosi dengan Nadal.

    Alcaraz, juara terbuka Perancis dan Wimbledon menambah, “Saya akan cuba menikmati saat berkongsi gelanggang dengan dia sekali lagi, tetapi saya fikir ini adalah sesuatu yang sangat sukar untuk semua orang.”

    Nadal dan Alcaraz sudah bertemu tiga kali dalam Jelajah ATP dengan pemain veteran yang bakal bersara tidak lama lagi itu mendahului rekod pertemuan 2-1.

    Mereka turut bergandingan dalam acara beregu bersama di Sukan Olimpik Paris tahun ini dan dijangka akan bergandingan sekali lagi di Pusingan Akhir Piala Davis.

    Nadal juga mencatatkan penampilan perseorangan terakhirnya di Sukan Olimpik di gelanggang Roland Garros, di mana dia memenangi 14 gelaran Terbuka Perancis. Beliau tewas kepada Novak Djokovic dalam pusingan kedua kejohanan itu.

    Dalam separuh akhir lain di Riyadh, Djokovic akan berdepan juara Terbuka Australia dan Terbuka AS, Jannik Sinner. Sinner, pemain nombor satu dunia, menewaskan Daniil Medvedev 6-0, 6-3, semalam.

    “Saya tahu pertemuan dengan Novak akan berbeza daripada yang sebelum ini,” kata Sinner, yang mengalahkan Djokovic dalam final Masters Shanghai Ahad lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda