Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri tidak terkejut apabila mengetahui konflik rumah tangga membabitkan Ira Kazar dan suami iaitu Syamsul Yusof.
Sudah lama berkawan rapat dengan anak kepada pelakon Kazar Saisi itu, Aliff atau Aliff Syukri Kamarzaman, 37, bagaimanapun memilih untuk tidak mencampuri urusan pasangan berkenaan.
Namun, dia berharap orang ramai tidak mendoakan perkara buruk berhubung penceraian Ira dan Syamsul itu.
“Saya dengan Ira memang rapat, bukan atas dasar ambil kesempatan ke apa.
“Sebenarnya saya dah tahu cerita Ira ni dah lama cuma sebagai orang luar saya tak patut sentuh isu rumah tangganya.
“Saya sentiasa mendoakannya dan bagi saya janganlah kita mendoakan penceraian orang lain,” katanya kepada mStar.
Mengulas situasi sedang dilalui Ira, Aliff berkata dia pelik apabila ada segelintir pihak bertepuk tangan dan mentertawakan konflik rumah tangga sahabatnya itu.
“Bila saya lihat ada yang ketawakan situasi dia, siap buat sembahyang syukur, memang tak patut. Bagi saya apabila kita seronok lihat kesusahan orang lain, takut nanti kita pula yang terkena jadi doakan sahaja kebahagiaan dia (Ira),” jelasnya. – Agensi