KUALA LUMPUR, 19 MAC – Pemain badminton perseorangan lelaki utama Malaysia, Lee Zii Jia, percaya bahawa keyakinan dirinya telah pulih pada kejohanan badminton All England 2023.
Walaupun tewas pada peringkat separuh akhir malam tadi, pemain profesional nombor empat dunia itu berkata kejohanan Super 1000 yang berprestij itu, telah menjadi bukti kembalinya prestasinya selepas siri prestasinya yang tidak konsisten sebelum ini.
Juara All England 2021 itu berkata kejohanan itu membantunya untuk mengembalikan kepercayaan pada dirinya sendiri.
“Saya bermula dengan sukar pada awal tahun ini dan saya mula tidak yakin bila berhadapan pemain yang berkedudukan tinggi. Saya ada perasaan ragu-ragu keupayaan saya untuk menjadi pemain terbaik semula.
“Saya rasa saya telah buktikan pada kejohanan ini dan walaupun ia separuh akhir, tetapi saya akan lakukannya setapak demi setapak.
Saya percaya kepada peningkatan semakin baik dan baik,” katanya dalam laman sesawang rasmi kejohanan.
Malam tadi, Zii Jia, 24, tewas 19-21, 12-21 kepada pemain dari China Shi Yu Qi, pada perlawanan separuh akhir All England di Arena Utilita di Birmingham. – Bernama
