Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN ke-27 (ALMM ke-27) dan Mesyuarat Menteri-menteri Buruh Plus Three ASEAN ke-12 (ALMM+3 ke-12) yang diadakan di Bonifacio Global City, Metro Manila, Filipina, pada 28 dan 29 Oktober lalu.
ALMM ke-27 dan ALMM+3 ke-12 telah dipengerusikan oleh Setiausaha Buruh dan Pekerjaan, Republik Filipina, Bienvenido E. Laguesma dengan membawa tema Together as One: Reshaping the World of Work in the ASEAN Community through Digitalized, Inclusive and Sustainable Recovery and Growth.
Tema tahun ini memfokuskan kepada tiga keutamaan iaitu menggalakkan penggunaan ICT dan digitalisasi; Memodenkan pertanian untuk keselamatan makanan dan pertumbuhan pekerjaan; dan Pembangunan sumber manusia yang cekap dan inklusif.
Semasa ALMM ke-27, Yang Berhormat Dato menekankan mengenai kepentingan usaha secara kolektif dalam menangani cabaran penguatkuasaan buruh, mengatasi amalan yang salah dalam pengambilan pekerja, dan pemerdagangan orang khususnya dalam usaha kembali dari pasca pandemik.
Inisiatif Jawatankuasa Pemeriksaan Buruh ASEAN (ALICOM) telah mencerminkan kepentingan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan pemeriksa buruh dan perkongsian strategik, yang mana Negara Brunei Darussalam telah menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ALICOM yang pertama pada 15 Disember 2021.
Sementara itu, semasa kedua-dua mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato turut berkata pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang sangat ketara kepada masyarakat global.
Ini terutamanya dalam kesan kepada ekonomi, namun begitu tumpuan haruslah diberikan untuk membangunkan semula dengan norma baharu yang mana ia dapatlah dilihat sebagai peluang khususnya bagi ASEAN untuk mempertimbangkan hala tuju ke arah pendigitalan, pertumbuhan inklusif dan mampan dalam dunia pekerjaan serantau.
Yang Berhormat Dato turut mengongsikan usaha-usaha Brunei untuk menyediakan inisiatif dan perkhidmatan latihan termasuk dalam sektor pelancongan, makanan dan minuman di samping menekankan pekerjaan dan pembinaan kapasiti tempatan termasuk dalam bidang teknologi.
