Wednesday, July 3, 2024
34.2 C
Brunei

    -

    Alpha Challenge 2022 terima sambutan menggalakkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Cabaran berhalangan terbesar di negara ini, The Alpha Challenge 2022 yang dianjurkan oleh D’Sunlit Sdn Bhd berlangsung meriah hari ini dengan membawakan tema Beta and Omega Challenge.

    Bersempena dengan Festival Disember Brunei, acara yang disokong oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan itu telah diadakan di Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam (UBD), yang menyaksikan penyertaan seramai lebih 1,800 orang yang bersaing secara individu dan berkumpulan, dalam kategori laluan kompetitif 10 kilometer (km) dan laluan Fun Run 5.7km.

    Berangkat sama menyertai 5.7K Fun Run Omega Challenge ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.

    Turut menyertai 10K Beta Challenge ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min.

    Majlis pelancarannya yang berlangsung pada pagi tadi dirasmikan oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud sekaligus melepaskan peserta yang mengikuti cabaran bagi 10K Beta Challenge dan 5.7K Fun Run Omega Challenge.

    Harungi halangan…Aksi YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim semasa berkenan menyertai The Alpha Challenge 2022 yang dianjurkan D’Sunlit Sdn Bhd di Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam, kelmarin. Turut serta dalam cabaran itu ialah YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min. – Gambar oleh Bahiyah Bakir
    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berkenan bergambar ramai semasa The Alpha Challenge 2022. Turut hadir ialah Pengiran Mohammad Amirrizal dan Jackson Ting.
    YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min turut menyertai The Alpha Challenge 2022.
    Antara aksi peserta yang menyertai The Alpha Challenge 2022. – Gambar serahan Bahyiah Bakir
    Pemenang kategori berkumpulan wanita, The Gorillas bergambar bersama pemenang tempat kedua dan ketiga. – Gambar serahan Bahyiah Bakir
    Antara peserta yang hadir semasa sesi pemanas badan. – Gambar serahan Bahyiah Bakir
    Mohd Saddam menerima Outstanding Award. – Gambar serahan Bahyiah Bakir
    Pemenang kategori wanita, Cecilia Maksimon. – Gambar serahan Bahyiah Bakir
    Pemenang kategori berkumpulan lelaki, Dynamo Fury A bergambar bersama pemenang tempat kedua dan ketiga. – Gambar serahan Bahyiah Bakir
    Pemenang kategori lelaki, Samsul Zamri. – Gambar serahan Bahyiah Bakir

    Pengarah Urusan D’Sunlit Sdn Bhd, Jackson Ting berkesempatan menyampaikan cenderahati penghargaan kepada tetamu kehormat majlis atas kesudian melancarkan dan menjayakan acara tersebut.

    Para peserta dilepaskan secara berperingkat mengikut slot waktu yang diberikan bagi memastikan kelancaran acara berkenaan di mana perlepasan pertama bermula pada pukul 6:30 pagi dan yang terakhir pada pukul 9 pagi.

    Kategori lelaki telah dimenangi oleh Samsul Zamri dengan catatan masa 44 minit 9 saat, sementara kategori wanita telah dimenangi oleh Cecilia Maksimon dengan catatan masa 1 jam 16 minit 3 saat. Mereka membawa pulang hadiah berjumlah $1,250.

    Juara bagi kategori berkumpulan lelaki disandang oleh pasukan Dynamo Fury A dengan catatan masa 53 minit 21 saat, manakala juara bagi kategori berkumpulan wanita pula menjadi milik The Gorillas dengan catatan masa 1 Jam 16 minit 44 saat. Mereka membawa pulang hadiah berjumlah $2,250.

    Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Jackson Ting dan Ting Ik Ruong.

    Sementara itu, seorang atlet yang tidak asing lagi dalam dunia sukan lasak atau cabaran berhalangan, Mohd Saddam Mohd Pittli dari Malaysia ketika ditemui pihak Media Permata menyatakan keterujaannya dalam menyertai acara tersebut dan merupakan kali pertamanya menjejakkan kaki ke negara ini.

    Mohd Saddam yang mempunyai pengalaman yang cukup besar dalam acara lasak seperti Spartan juga menzahirkan hasrat agar suatu masa nanti akan ada peserta elit dari Brunei yang akan bersaing di peringkat antarabangsa kerana baginya peserta di negara ini mempunyai bakat dan potensi untuk pergi lebih jauh lagi.

    Beliau pada acara tersebut turut dianugerahkan dengan Outstanding Award yang disampaikan sendiri oleh Jackson Ting.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Delhi anjur Sidang Kemuncak Global India AI

    NEW DELHI, 3 JULAI– Mengukuhkan komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan yang bertanggungjawab, penggunaan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), Kementerian Elektronik dan...