Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Amal terapi doa, zikir ubati penyakit mental

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Empat kertas kerja telah dibentangkan pada sesi terakhir Seminar Majlis Ilmu 2023 dengan subtema Amalan-amalan Gaya Hidup Sihat dalam Islam di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Kertas kerja yang bertajuk Kepentingan Penjagaan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan di Abad ke-21 telah dibentangkan oleh Ahli Psikologi Klinikal di Kementerian Kesihatan, Dayang Nur Syahmun binti Haji Matassan yang membentangkan mengenai peratus pelajar yang sering atau selalu merasa kesunyian dalam masa 12 bulan kebelakangan iaitu 12.7 peratus bagi pelajar lelaki dan 19.7 peratus untuk pelajar perempuan.

    Peratus mengenai yang mencuba membunuh diri satu kali atau lebih dalam masa 12 bulan kebelakangan menunjuk 5.7 peratus bagi pelajar lelaki dan 12.2 peratus bagi pelajar perempuan.

    Beliau turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan diri dari segi bagaimana masalah kesihatan mental boleh diatasi bersama dan perlu diambil tahu. Ini termasuklah mendapat sokongan keluarga dan sosial, penjagaan kesihatan fizikal, akses kepada bantuan profesional serta pengamalan terapi doa dan zikir.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin hadir menyaksikan sesi akhir Seminar Majlis Ilmu 2023. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Dayang Nur Syahmun semasa membincangkan tajuk Kepentingan Penjagaan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan di Abad ke-21. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Manakala itu, Pegawai Pelajaran di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dayang Siti Hanisah binti Haji Othman telah membentangkan kertas kerja bertajuk Konsep Kemaafan: Pendekatan Terbaik untuk Menggapai Kebahagiaan Hidup.

    Beliau menyentuh tentang konsep kemaafan dalam Al-Quran, bagaimana dengan akhlak ini akan menjadikan seseorang dapatmenggapai kebahagian hidup.

    Sementara itu, kertas kerja bertajuk Panduan Hidup Sihat Menurut Al-Quran telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin yang menghuraikan perlunya sebagai umat Islam menjalankan kehidupan mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh Allah, agar kehidupan yang dijalani di dunia ini sentiasa mendapat reda Allah yang akan membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan yang kekal di akhiratkelak.

    Seterusnya, Awang Muhammad Yussof Haji Abdul Majid dari Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah membentangkan tajuk Memupuk dan Memelihara Kesejahteraan Jiwa Berdasarkan Karya Tabib Kurun ke-9, Abu Zayd Al-Balkhi: Masalih Al-Abdan Wa Al-Anfus.

    Beliau memfokuskan sumbangan Abu Zayd Al-Balkhi dalam mempromosikan kesejahteraan jiwa atau mental, meneliti kaedah yang beliau gunakan untuk menyembuhkan penyakit jiwa atau mental dan gejala-gejala yang menyebabkan gangguan jiwa atau mental.

    Dalam rangka ini, beliau menekankan kepentingan menjaga kesihatan jiwa atau mental dan mencapai keseimbangan yang harmoni antara badan dan jiwa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...