MEMILIKI haiwan peliharaan kesayangan merupakan satu pengalaman yang mampu memberikan anda keseronokan yang luar biasa.
Malahan, perasaan tersebut tak ubah seperti seperti menjadi ibu bapa biarpun kasih sayang dan tanggungjawab itu hanya buat seekor haiwan. Rutin harian yang berat dengan ganjaran tidak ternilai apabila anda dapat melihat sendiri bagaimana ia membesar, bergerak dan bermain di depan mata anda sendiri.
Jika anda mengamalkan cara penjagaan yang betul, nescaya haiwan peliharaan yang anda belai itu pasti akan sihat dan ceria. Di sini ingin dikongsikan beberapa tip tentang haiwan peliharaan kesayangan ramai iaitu kucing. Masih ramai yang beranggapan bahawa agak sukar untuk memelihara seekor kucing.
Tidak dinafikan, mungkin pada permulaannya, anda akan berasa sedikit sukar, apatah lagi jika anda langsung tidak mempunyai pengalaman memelihara haiwan ini. Penjagaan haiwan peliharaan sama penting juga dengan menjaga seseorang yang anda sayangi. Perlu diberikan perhatian dengan baik agar terhindar daripada segala penyakit. Di sini dikongsikan panduan menjaga kucing:
1-Pastikan kucing anda mempunyai keperluan makanan yang sesuai dan cukup dengan nutrien yang diperlukan
Pastikan anda membeli makanan haiwan peliharaan anda dengan betul agar ia sihat dan sentiasa bertenaga. Baca setiap label kandungan pemakanan yang sesuai dengan haiwan peliharaan anda. Sediakan tempat makanan, letak dalam bekas. Kalau boleh elakkan kucing anda makan di meja makan, takut masalah kebersihan dan kesihatan dalam kalangan keluarga lain.
2-Jika mempunyai masa, bawa kucing anda berjalan-jalan
Ini merupakan masa yang baik untuk ia bersenam di samping merapatkan lagi hubungan anda dengan si comel.
3-Mandikan kucing anda sekurang-kurangnya tiga kali setiap minggu
Bulu kucing bukan sahaja perlu disikat atau diberus, malah untuk memiliki ku-cing yang cantik dan ceria, ia haruslah dimandikan dengan syampu khas untuk kucing yang sesuai supaya bulunya sentiasa kelihatan cantik. Apabila memandikan kucing, pastikan air tidak memasuki mata dan telinganya. Bulu kucing anda boleh dikeringkan dengan menggunakan pengering rambut atau menggunakan tuala yang kering.
4-Bawa jumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan lanjut
Sama seperti anda perlu pergi berjumpa doktor untuk rawatan atau sebarang pemeriksaan bagi memastikan diri sihat, lakukan perkara yang sama pada haiwan kesayangan anda. Bawa jumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan lanjutan. Oleh kerana haiwan peliharaan ini tidak boleh bercakap, kadang-kadang ia memerlukan orang untuk mengetahui jika ia dalam keadaan baik atau sebaliknya.
5-Berikan permainan kepada kucing
Pergi ke taman bersama kucing anda untuk main bola atau apa sekalipun asalkan haiwan peliharaan anda itu bergerak. Jika anda mempunyai kucing, pergi ke kedai haiwan peliharaan dan cuba dapatkan barang permainan untuk kucing anda.
6-Habiskan masa dengan kucing
Biarkan kucing anda tahu bahawa anda menyayanginya dan sudah pasti ia akan turut menyayangi anda kembali. Tambahan pula dengan sikap anda yang sentiasa peka untuk memberikan rawatan, sudah pasti haiwan ini akan menyukai anda sebagai tuannya.
7-Pastikan keadaan kucing anda selamat
Jauhi anak kucing anda daripada bergaduh, jatuh dari tempat yang tinggi, dibuli oleh kanak-kanak atau haiwan-haiwan lain yang ganas seperti anjing.
8-Memberi teguran
Anak kucing juga seperti kanak-kanak kecil. Ia suka mencuba sesuatu yang di luar jangkaan. Contohnya mencakar sofa, menggigit, melompat ke tempat tinggi, dan sebagainya. Jika kucing anda melakukan semua ini, cuba hentikannya dengan mengatakan ‘stop’ atau ‘jangan’ tetapi anda jangan menjerit. Sebaliknya gunakan nada yang rendah dan alihkan kucing anda ke tempat lain, jauh dari tempat kejadian tadi. Ajar apa yang boleh dan tidak boleh lakukan ketika di dalam rumah. Dengan itu, anda tidak dengar lagi bebelan ibu anda dengan keadaan di rumah.
9-Makanan tambahan untuk mendapatkan bulu kucing yang cantik dan lebat
Sudah pastinya setiap pemilik kucing mahukan kucing kesayangannya berbulu lebat serta sihat. Oleh itu, makanan tambahan memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan bulu dan kulit, kerana kedua-duanya adalah penting dan saling berhubungkait antara satu sama lain. Makanan tambahan yang diperlukan oleh kucing anda adalah:
-Vitamin dan mineral
Terdapat pelbagai vitamin atau multivitamin untuk kucing. Bagaimanapun, kebanyakan makanan harian kucing yang sedia ada mengandungi multivitamin dan mineral yang mencukupi dan diperlukan oleh kucing.
-Essential Fatty Acid
Omega 3 dan Omega 6 memang terkenal dengan kebaikan untuk menjadikan bulu kucing berkilat dan kurang gugur. Ia juga memberikan perlindungan kepada hati, otak, sistem imun, mata dan sendi-sendi. Seperti juga pada manusia, Omega 3 memberikan perlindungan kepada jantung serta menurunkan paras kolesterol.
-Probiotik
Probiotik merupakan bakteria baik dan sihat yang mampu memperbaiki sistem penghadaman dalam usus besar dengan cara mengawal pertumbuhan bakteria jahat.
Kesimpulan
Walaubagaimanapun sekiranya anda mahu memelihara haiwan peliharaan, anda dinasihatkan untuk betul-betul menjaga kebersihan diri dan haiwan peliharaan anda kerana kuman sangat mudah menjangkiti sekiranya terdedah kepada kekotoran. Sekiranya anda mahu memberikan haiwan peliharaan anda makanan tambahan, pastikan terlebih dahulu anda mendapatkan nasihat daripada pakar atau veterinar. – Agensi