Monday, May 6, 2024
22.8 C
Brunei

    -

    Amar Asyraf nekad berhenti berlakon kerana rasa bersalah

    Pengalaman menjalani penggambaran drama Perempuan Itu sekitar dua tahun lalu menyedarkan Amar Asyraf bahawa lakonan bukan lagi jiwanya.

    Memetik laporan mStar, Amar atau Amar Asyraf Zailuddin, 38, berkata, babak beliau seolah-olah memegang bahu heroin drama tersebut iaitu Mimi Lana membuatkan beliau diselubungi rasa bersalah.

    Jelas Amar, beliau sedar apa dilakukan adalah satu kesalahan dan mahu berubah dan tidak mengulangi kesilapan sama.

    “Saya memang sudah berhenti berlakon, drama terakhir saya adalah pada 2021 dan tawaran diterima selepas itu saya tolak sebab nekad mahu tinggalkan dunia seni.

    “Menerusi drama terakhir saya ada babak seolah-olah saya pegang bahu Mimi Lana dan walaupun tidak bersentuhan tapi saya betul-betul rasa bersalah.

    “Memang sebelum ini saya ada berlakon bersentuhan dan berpelukan dengan pelakon wanita tetapi sekarang saya mahu berubah,” katanya kepada mStar.

    Amar ditemui ketika hadir sebagai tetamu di majlis pembukaan Gudang Karpet Al Aqsa milik pelakon Dazrin Kamarudin yang berlangsung di Shah Alam pada Ahad.

    Dalam pada itu, Amar tidak menafikan penghijrahannya mendalami ilmu agama turut membuatkan beliau bulat hati dengan keputusan tersebut.

    Tambah Amar bukan hanya sebagai pelakon, malah beliau juga menolak sebarang tawaran program televisyen yang memerlukan beliau muncul di hadapan kamera.

    “Penghijrahan saya juga antara faktor membuat keputusan ini. Saya rasa tidak selesa untuk berlakon, jadi lebih baik tidak lagi menerima sebarang tawaran.

    “Kalau ada program TV pun mungkin saya hanya terlibat sebagai penaja sahaja. Tak mahu lagi kerja depan kamera,” jelasnya.

    Berkongsi mengenai perkembangan diri, Amar berkata, beliau kini memberi fokus kepada perniagaan sedang diusahakan.

    Selain itu, beliau masih menyalurkan kreativiti dunia seni menerusi kandungan media sosial sebagai salah satu kaedah mempromosikan perniagaan.

    “Saya masih boleh terus berkarya menerusi video yang dimuat naik di sosial media dan sebab itu buat masa sekarang saya tidak pernah rasa rindu terhadap dunia lakonan.

    “Penglibatan dalam industri seni sebelum ini membantu saya untuk salurkan kreativiti.

    “Sekarang saya lebih tenang dan gembira… Kehidupan lebih sederhana tanpa perlu fikir soal penampilan malah nak makan di mana-mana pun tiada masalah,” ujarnya. – Agensi

    Amar akui kini tidak selesa untuk berlakon. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...