MOSCOW, 20 JULAI — Amaran tsunami yang dikeluarkan sebelum ini telah dibatalkan selepas beberapa siri gempa bumi kuat di pesisir timur jauh Rusia hari ini tidak menyebabkan gelombang maut, menurut Kementerian Kecemasan Rusia.
Awal pagi tadi, Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) telah mengeluarkan amaran tsunami, meramalkan ‘gelombang berbahaya’ selepas kejadian gempa bermagnitud 7.4 pada jam 8:49 pagi, yang merupakan gegaran paling kuat daripada beberapa siri gempa di kawasan Lautan Pasifik utara.
USGS menjangkakan ketinggian gelombang antara 30 sentimeter hingga satu meter di pesisir Rusia dan kurang daripada 30 sentimeter di Jepun dan negeri Hawaii, Amerika Syarikat.
“Ancaman tsunami ke atas kawasan berpenduduk di Kamchatka telah berlalu,” kata Kementerian Kecemasan Rusia beberapa jam kemudian.
Perkara itu turut disahkan oleh Gabenor tempatan, Vladimir Solodov, yang memaklumkan bahawa menjelang waktu jangkaan ketibaan gelombang pertama, ‘tiada tsunami dikesan di mana-mana kawasan berpenduduk’.
Namun, beliau memberi amaran berhubung kemungkinan berlakunya gegaran susulan, yang merupakan perkara biasa semasa kejadian seismik dan boleh mencetuskan gempa susulan lain.
USGS menjelaskan bahawa pusat gempa terletak di Lautan Pasifik, kira-kira 150 kilometer ke timur bandar Petropavlovsk-Kamchatsky.
Siri gegaran susulan turut mencatatkan satu gempa kuat bermagnitud 6.7, tambah agensi itu.
Kementerian Kecemasan Rusia menulis di Telegram bahawa pihaknya menjangkakan gelombang setinggi 60 sentimeter di Kepulauan Commander yang terletak di barat daya Laut Bering, serta gelombang antara 15 hingga 40 sentimeter di semenanjung Kamchatka. – AFP
