Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Ambil peluang dalami cara hidup Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Sebutan mualaf itu adalah setakat sementara dalam tempoh peralihan dan peserasian atau penyesuaian diri ke dalam masyarakat besar bangsa dan umat Islam.

    Cepat atau lambatnya tempoh itu banyak dipengaruhi oleh kesediaan kalangan mualaf itu sendiri dan antaranya dengan mempergunakan peluang-peluang mempelajari dan menyesuaikan diri dengan cara hidup Islam yang diusahakan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) menerusi program dan skim bimbingan mualaf.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Majlis Konvokesyen Skim Bimbingan Mualaf kali ke-2, PDI di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Yang Behormat Pehin seterusnya menjelaskan, skim bimbingan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PDI untuk membimbing saudara-saudara baharu yang disebut sebagai mualaf.

    Katanya lagi, “Skim ini sangat penting dan merupakan program tetap yang diatur dan dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim. “Saudara baharu ini perlu bimbingan untuk beramal ibadat dan menjalani cara hidup sebagai orang Islam yang kukuh iman dan amalnya,” jelasnya.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berharap agar program bimbingan mualaf dapat disesuaikan dengan keperluan semasa. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Beliau seterusnya menegaskan, “Setelah saudara baharu itu mengucapkan Dua Kalimah Syahadat, dia hanya setakat memeluk agama Islam dan automatik menjadi Muslim atau Islam, namun dia tidak secara automatik disebut orang mukmin kerana dia belum terdedah dengan sempurna kepada agama Islam.”

    Beliau menambah, PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) merupakan agensi dakwah Islam untuk mendakwahkan mengenai agama Islam secara umumnya kepada orang Islam dan yang bukan Islam. Pusat itu juga ada menyediakan program dan skim bimbingan untuk saudara-saudara baharu.

    Beliau seterusnya berharap agar semua program bimbingan mualaf dengan segala skim yang ada itu akan lebih giat dilaksanakan, malah perlu dikaji impaknya secara objektif dan disesuaikan dengan keadaan dan keperluan semasa dan terkini.

    Dengan kemudahan perhubungan seperti sekarang, tambahnya, kekerapan lawatan rombongan PDI ke pedalaman telah ditingkatkan, bahkan cara dan bentuk dakwah pun boleh dilakukan dengan lebih menarik.

    “Dalam semua itu apa yang disebut dakwah bilhal juga tetap sesuai dan diperlukan bagi menyantuni penduduk pedalaman,” katanya.

    Walaupun ada cara menyampaikan dakwah secara maya dan media sosial lainnya termasuk penyiaran radio dan televisyen, jelasnya, cara seperti itu tidak menepati erti kata dakwah secara langsung apa lagi bagi pelaksanaan dakwah bilhal yang berimpak tinggi, jelas berkesan menepati tujuan berdakwah kepada sesetengah sasaran tertentu di pedalaman.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya berharap, kalangan mualaf hendaklah mengambil peluang daripada apa jua usaha bagi memantapkan keislaman supaya akan lebih mudah mengadaptasi diri ke dalam masyarakat Islam di negara ini.

    “Usaha menyerasikan diri atau pun menyesuaikan diri ke dalam masyarakat Islam itu haruslah menjadi keutamaan kalangan mualaf kerana tidak selamanya harus dikenali dan mengenal diri sebagai kelompok mualaf,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...