KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Pelumba BMX daripada pasukan Terengganu Hanelang, Amer Akbar Anuar berjaya menebus kekecewaan tahun lepas apabila muncul juara kategori elit lelaki Kejohanan BMX Kebangsaan 2023 di Arena BMX Nasional, Negeri Sembilan hari ini.
Beliau berkata, kejayaannya menyarung jersi kebangsaan selaku ‘sang juara’ cukup istimewa selepas menduduki tempat kelima pada edisi lepas susulan insiden kemalangan yang dialami bersama rakan sepasukannya, Sany Syahmi Mohd Shafiee.
“Alhamdulillah, rezeki saya tahun ini dapat menang juara kebangsaan. Tahun lepas bukan rezeki saya untuk bergelar juara selepas berlanggar dengan Sany Syahmi di selekoh kedua terakhir ketika menuju garisan penamat.
“Sasaran saya tahun ini memang nak raih gelaran juara kebangsaan, sarung jersi putih selaku juara dan catat masa terbaik. Syukur, saya amat berpuas hati dengan prestasi pada perlumbaan akhir hari ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Amer Akbar merekodkan 29.564 saat (s) untuk merangkul emas diikuti rakan sepasukannya, Sany Syahmi di tempat kedua (30.239s), manakala Syed Irfan Danish Syed Anuar daripada pasukan Johor di kedudukan ketiga (31.975s).
Beliau selepas ini akan mengalihkan fokus untuk menghadirkan kilauan pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (ACC BMX 2022) di Filipina yang bakal berlangsung pada 15-16 Julai ini.
Sementara itu, pelumba pasukan ECO MTB, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengungguli kategori elit wanita sekali gus mempertahankan kejuaraan dalam kategori itu pada edisi ini. – Bernama
