Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dunlap menang Jelajah PGA

    American Express bayar AS$138 juta akibat penipuan cukai

    NEW YORK, 17 JAN – American Express bersetuju untuk membayar lebih AS$138 juta bagi menyelesaikan siasatan berhubung penipuan komunikasi elektronik yang melibatkan amalan jualan dan pemasarannya, menurut pengumuman pihak berkuasa persekutuan kelmarin.

    Gergasi kewangan yang berpangkalan di New York itu didapati telah memberikan nasihat cukai yang tidak tepat kepada pelanggan dan bakal pelanggan berhubung produk kabel yang dipasarkan, khususnya kepada perniagaan kecil dan sederhana. Menurut kenyataan Pejabat Peguam Amerika Syarikat (AS) bagi Daerah Timur New York, pelanggan diberitahu bahawa yuran syarikat tersebut boleh dituntut sebagai pelepasan cukai perniagaan, walaupun dakwaan itu tidak benar.

    Ejen khas yang bertanggungjawab di Pejabat Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) New York, Harry Chavis berkata, “Syarikat ini telah mengelirukan pelanggan mereka dengan mempromosikan pelepasan cukai yang tidak wujud.”

    Pihak berkuasa turut mendedahkan siasatan dalaman syarikat itu membawa kepada pembatalan perkhidmatan kira-kira 200 pekerja pada 2021, selain keputusan untuk menghentikan produk berkaitan sepenuhnya pada tahun yang sama.

    “Institusi kewangan seperti American Express tidak sepatutnya memasarkan skim elak cukai yang tidak tepat semata-mata untuk menjual produk dan mengaut keuntungan cepat. Penyelesaian ini memastikan American Express akan bertanggungjawab dari segi kewangan atas tindakan pekerja jualannya yang telah menyalah tafsirkan manfaat cukai produk ini,” kata Penolong Peguam AS bagi Daerah Timur New York, Judy Philips, dalam kenyataan.

    American Express dalam kenyataannya berkata amalan jualan yang dipertikaikan itu telah dihentikan pada 2021 atau lebih awal dan syarikat itu akan membayar kira-kira AS$230 juta secara keseluruhan bagi menyelesaikan isu tersebut. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda