Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Dunlap menang Jelajah PGA

    LOS ANGELES, 22 JAN – Juara amatur Amerika Syarikat (AS), Nick Dunlap, menjadi amatur pertama sejak 1991 memenangi gelaran Jelajah PGA, memenangi pertarungan sembilan orang pemain kelmarin, untuk menawan kejohanan American Express.

    Dunlap, pelajar tahun kedua di Universiti Alabama berusia 20 tahun, meraih kemenangan selepas pukulan par enam kaki di lubang ke-18 untuk menamatkan saingan dua bawah par-70 di Padang Stadium Pete Dye – satu daripada tiga lapangan yang digunakan minggu ini.

    Walaupun menang dengan satu pukulan, Dunlap tidak akan membawa pulang wang daripada kemenangan itu.

    Sebagai seorang amatur, pemain Amerika itu tidak layak untuk hadiah kemenangan sebanyak AS$1.51 juta, yang menjadi milik naib juara Christiaan Bezuidenhout dari Afrika Selatan.

    Dunlap menamatkan saingan dengan 29 di bawah 259 untuk mencatat rekod 72 lubang dengan skor kemenangan rendah, memecahkan rekod 28 bawah par yang dicatatkan oleh Patrick Reed pada 2014.

    “Saya rasa skrip ini hari ini sudah pun tertulis,” kata Dunlap. “Saya akan memberikan segala yang saya ada sama ada saya melakukan 75 atau 65 atau 70.

    “Saya sangat gembira dapat berdiri di sini.”

    Dunlap menjadi pemain amatur pertama memenangi acara Jelajah PGA AS sejak Phil Mickelson memenangi Terbuka Telekom Utara 1991 di Tucson, Arizona.

    Dunlap juga menjadi pemenang Jelajah PGA kedua termuda dalam tempoh 90 tahun lalu, selepas Jordan Spieth yang melakukannya pada usia 19 tahun di John Deere Classic 2013, dan pemenang amatur termuda sejak 1910. – AFP

    Dunlap memegang trofi selepas memenangi kejohanan golf American Express pada 21 Januari, di La Quinta, California. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...